Pelancong gemuk diharam naik keldai - Utusan Malaysia

Pelancong gemuk diharam naik keldai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATHENS 10 Okt. – Greece mengharamkan pelancong gemuk daripada menunggang keldai di negara ini selepas kumpulan hak asasi haiwan mendakwa mamalia itu mengalami kece­de­raan tulang belakang dan luka terbuka akibat membawa beban berlebihan.

Mail Online melaporkan, selepas gambar keldai menai­ki kawasan sempit di pusat tumpuan pelancong di Pulau Santorini mendapat liputan seluruh dunia, ahli Parlimen Greece kini berikrar untuk membantu haiwan itu.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Makanan Greece membuat peraturan baharu berkaitan kebajikan keldai selepas menerima banyak aduan tentang perkara itu susulan liputan media, Julai lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peraturan itu menetapkan keldai yang membawa pelancong di Santorini tidak boleh membawa beban melebihi 100 kilogram atau satu perlima daripada berat haiwan itu.

Langkah itu dibuat selepas aktivis haiwan di pulau itu mendakwa dengan masalah kegemukan meningkat, keldai terpaksa membawa beban berlebihan semasa bekerja tujuh hari seminggu tanpa perlin­dungan, rehat dan air mengaki­batkan binatang terbabit mengalami cedera tulang belakang dan luka terbuka.

Buletin kerajaan menyata­kan, pemilik keldai perlu memastikan tahap kesihatan hai­wan adalah tinggi selain mereka perlu menyediakan bahan pembasmi kuman di tempat tinggal dan tempat kerja haiwan ber­kenaan.

Katanya, pemilik haiwan tidak boleh menggunakan haiwan yang sakit, cedera, bun­ting dan haiwan yang tidak dijaga dengan baik.

“Keldai perlu diberi makan dan air minum yang sesuai serta cukup setiap hari dan ia tidak sepatutnya membawa beban berlebihan berban­ding saiz, umur atau keadaan fizikalnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini