PDRM pantau pusat tahfiz  - Utusan Malaysia

PDRM pantau pusat tahfiz 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau semua pusat pembelajaran agama di negara ini untuk memastikan sama ada terdapat penyebaran ideologi Salafi Jihadi di pusat pengajian tersebut.

Bagaimana pun Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, penyebaran ideologi tersebut masih lagi terkawal kerana buat masa ini kumpulan ekstremis tersebut hanya berleluasa di Perlis sahaja.

“Kita masih lagi menyiasat mengenai penyebaran ideologi ini kerana dilihat mereka mempunyai hubungan dengan kumpulan militan di negara ini namun begitu ia masih lagi berada dalam kawalan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tangkapan di Perlis baru-baru ini melibatkan warga tempatan yang merupakan tenaga pengajar di pusat pembelajaran agama tersebut dan mereka telah menyebarkan ideologi kumpulan mereka kepada pelajar, “ katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pemantapan Integriti dan pelancaran Jurnal Integriti PDRM 2018 di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (Pulapol).

Turut hadir, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standar, Datuk Zamri Yahya serta Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Kosmo! pada 3 Oktober lalu melaporkan, polis berjaya menahan lapan lelaki yang mempunyai kaitan dengan sebuah pusat pembelajaran di Perlis pada bulan lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas.

Dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Counter Terro­rism Cawangan Khas PDRM di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor itu, seramai tujuh warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini