TOKYO 6 Okt. – Peraih dan orang ramai berkumpul sebelum waktu subuh di Tsukiji, sebuah pasar ikan terbesar di dunia, bagi menyertai acara lelongan terakhir ikan tuna sebelum premis berkenaan ditutup dan dipindahkan ke lokasi baharu.
Ratusan ikan tuna segar yang beku diletakkan tanda berat timbangan dan asalnya sebelum pembeli veteran yang memakai but getah memeriksa ikan-ikan tersebut.
“Saya hampir menangis, hari ini adalah hari untuk mengucapkan selamat tinggal. Tsukiji cuba mengikuti peredaran masa tetapi ia semakin berumur.
“Saya datang ke sini untuk ucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada Tsukiji,” kata seorang pelelong makanan laut yang telah bersara, Hisao Ishii.
Lelongan tuna Tsujiki sering menarik perhatian kerana harga ikan yang dijual pernah mencecah harga 155.4 juta yen (RM7.4 juta) bagi seekor ikan tuna besar seberat 222 kilogram pada 2013.
Pasar ikan ini bukan sahaja menjadi tumpuan kepada para peniaga makanan laut tetapi juga pelancong.
Selepas hari terakhirnya beroperasi hari ini, Tsukiji akan berpindah ke Toyosu, sebuah lokasi di timur Tokyo dan operasinya akan bermula pada 11 Oktober.
Pasar yang beroperasi sejak 83 tahun lalu dipindahkan sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan semula kawasan itu bagi Sukan Olimpik 2020.
Lokasi baharu itu menampilkan sistem penyejukan ikan yang canggih tetapi berbeza berbanding sebelumnya pergerakan pelancong kini terbatas ke galeri khas supaya urusan jual beli di pasar itu tidak lagi terjejas. – AFP











