Parti liar: 20 ditahan termasuk remaja di Danga Bay - Utusan Malaysia

Parti liar: 20 ditahan termasuk remaja di Danga Bay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 26 Okt. – Sanggup berkongsi duit menyewa sebuah kondominium di Danga Bay di sini untuk mengadakan pesta liar.

Bagaimanapun keseronokan 20 individu termasuk dua remaja bawah umur terbongkar apabila ditahan dalam serbuan di kondominium itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, daripada jumlah tersebut, 15 adalah lelaki dan lima lagi wa­nita dengan kesemua mereka ber­usia antara 15 hingga 24 tahun.

Menurutnya, dua remaja bawah umur itu terdiri daripada seorang lelaki berusia 17 tahun yang tidak bersekolah dan seorang perempuan berusia 15 tahun masih bersekolah.

“Enam daripada mereka dibebaskan kerana didapati negatif ujian air kencing manakala selebihnya mengaku mengambil dadah di sebuah pusat hiburan di Taman Sentosa di sini sehari sebelum ditahan ketika pergi ke kondominium berkenaan.

“Seorang lelaki menggunakan nama samaran ‘Man’ yang menetap di Pontian dipercayai penganjur lalu menjemput rakan serta kenalan melalui aplikasi WeChat ke pesta liar tersebut ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahurinain, pemilik rumah berkenaan tidak mengetahui kediamannya dijadikan lokasi penganjuran parti itu kerana diuruskan oleh ejen dan semua suspek berkongsi duit menyewa kondominium tersebut pada harga RM300 semalam.

Katanya, operasi bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir pukul 3 petang itu adalah pertama kali dilakukan pihaknya di kondominium tersebut dan ada antara yang ditahan sering terlibat dalam parti liar lain.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihak­nya akan membuat permohonan tahanan reman ke atas semua suspek di mahkamah, hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN