CAMERON HIGHLANDS 14 Okt. – Tindakan sekumpulan pekerja membina pondok rumah kongsi di cerun curam bagi memudahkan perjalanan ke kebun mengundang tragedi apabila tiga maut dalam kejadian tanah runtuh di Batu 49, Kampung Tiga, Kuala Terla di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi akibat hujan lebat menimbuskan pondok itu kerana didirikan di kawasan tidak sah dan terletak di bawah jalan.
Mangsa yang maut itu dikenali sebagai Aung Thong, 23, dan pasangan, Naing Vai, 23, serta rakan mereka, Mu Aye Aye, 34.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Ashari Abu Samah berkata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa sedang tidur dalam pondok berkenaan.
Menurutnya, polis menerima panggilan pada pukul 10.40 pagi daripada rakan mangsa yang memaklumkan mengenai insiden itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama anggota bomba.
“Apabila sampai di tempat kejadian pada pukul 11.30 pagi, dua mangsa warganegara Myanmar berjaya dikeluarkan oleh rakan mereka serta disahkan meninggal dunia.
“Seorang lagi mangsa yang masih berada dalam pondok tertimbus itu kemudian berjaya dikeluarkan pada pukul 1.20 petang apabila kerja menyelamat dijalankan oleh pihak polis, bomba dan masyarakat setempat. Mangsa juga didapati telah meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Ashari berkata, kesemua mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata untuk bedah siasat.
Menurutnya, tiada sebarang penutupan jalan dibuat ekoran insiden tanah runtuh itu kerana kejadian berlaku di kawasan kebun.











