KUANTAN – Penganjuran pesta arak OktoberFest 2018 tidak wajar diadakan di tempat awam meskipun ia dijalankan secara tertutup di sebuah premis dalam kompleks beli belah Mid Valley, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, pesta arak itu sepatutnya diadakan di tempat tertutup yang tidak dikunjungi orang awam.
“Di sebuah negara Islam, orang bukan Islam boleh (tidak dilarang) minum arak, tetapi bukan secara terang-terangan dan besar-besaran di tempat awam.
“Mid Valley itu bukanlah tertutup kerana ia merupakan tempat awam,” ujar beliau ketika diminta mengulas berhubung penganjuran OktoberFest 2018 yang mendapat reaksi umat Islam seluruh negara sejak seminggu lalu.
Beliau mengulas demikian semasa ditemui pemberita sejurus Majlis Perasmian Karnival Usahawan Asnaf di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah di sini pagi tadi.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman menambah, penganjur pesta arak itu juga sepatutnya menghormati sensitiviti umat Islam kerana ia merupakan agama rasmi di negara ini.
“Kita (umat Islam) tidak mahu anak-anak terdedah kepada perkara yang tidak baik. Itu hak kita melindungi anak-anak daripada pengaruh tidak baik,” tambah Abdul Rahman. – K! ONLINE











