BALI (Indonesia) – Pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mahathir mendedahkan, beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan janji hapuskan tol di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
“Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan.
“Tetapi pada masa itu, saya menentang. Saya tahu, untuk mengadakan laluan percuma ia tidak boleh (dilakukan). Satu-satunya cara untuk mengadakan laluan percuma dan tiada tol adalah dengan menaikkan harga petrol,” katanya ketika ditemui di Perhimpunan Pemimpin-pemimpin ASEAN di sini kelmarin.
Menjelaskan selanjutnya tentang tol, beliau bertanya siapakah yang akan menyelenggara atau membina jalan baharu sekiranya kerajaan memansuhkan kutipan tol.
“Anda minta sektor swasta supaya membina jalan raya. Mereka mahu meraih keuntungan tetapi jika anda tidak mengadakan kutipan tol, bagaimana hendak mendapatkan keuntungan?” soalnya.











