Muhammad Shafee mohon pindah kes ke Mahkamah Tinggi - Utusan Malaysia

Muhammad Shafee mohon pindah kes ke Mahkamah Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Permohonan peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk memindahkan kes pengubahan wang haram yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi akan didengar Rabu ini.

Permohonan yang difailkan pada minggu lalu akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Azman Abdullah.

Peguam, Sarah Abishegam yang mewakili Muhammad Shafee memberitahu, pihak pendakwaan tidak membuat sebarang bantahan terhadap permohonan tersebut pada pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar, Raja Shahril Anuar Raja Baniamin hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau turut memberitahu, permohonan tersebut dikemukakan oleh peguam utama mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes salah laku jenayah itu atas alasan kes berkenaan membabitkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes pengubahan wang haram itu akan disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Azura Alwi esok.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz mengesahkan pihaknya tidak membuat sebarang bantahan terhadap permohonan yang difailkan mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah itu.

Pada 13 September lalu, Muhammad Shafee, 66, didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Peguam itu juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini