KUANTAN – Seorang mualaf mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung kes menghasilkan wang palsu dan pemalsuan kad pengenalan di sini minggu lalu.
Tertuduh, Mohammad Ridzuan Cheong Abdullah, 34, dari Alor Akar di sini mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Siti Aminah Ghazali.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang tukang cat didakwa memiliki peralatan menghasilkan wang palsu, 42 keping matawang bernilai RM50 dan enam keping not RM100 yang kedua-duanya palsu serta berniat untuk menggunakannya sebagai wang tulen.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki lebih daripada satu kad pengenalan yang diketahui palsu sebagai pengenalan diri.
Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah kediaman dekat Taman Alor Akar di sini pada 5 Oktober lalu kira-kira pukul 3.45 petang.
Pertuduhan pertama dilakukan mengikut Seksyen Kanun Keseksaan dan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Manakala bagi pertuduhan kedua pula dilakukan mengikut Peraturan 25 (1)(c) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE










