Mohd. Nazari yakin pengundi tentera sokong Pas - Utusan Malaysia

Mohd. Nazari yakin pengundi tentera sokong Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 9 Okt. – Calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar yakin beliau dapat meraih sokongan pengundi tentera dalam pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di sini, hari ini.

Bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  itu berkata, keyakinannya adalah berdasarkan maklum balas positif dan sokongan luar jangkaan diterimanya semasa meninjau proses pengundian di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, pagi tadi. 

“Mereka berterus-terang memberitahu bahawa mereka berada di pihak saya. Saya nampak komitmen daripada pengundi tentera.

“Saya rasa peluang Pas kali ini untuk undi awal lebih memberangsangkan daripada pilihan raya sebelum ini,”  katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini, hari ini. 

Seramai 6,693 anggota tentera dan pasangan dijadualkan mengundi awal hari ini manakala pengundi awal melibatkan anggota dan pegawai polis pula berjumlah 577 orang.

Dalam pada itu, mengulas laporan polis yang dibuat calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong berhubung kempen calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Mohd. Nazari menjelaskan pihaknya menyokong penuh tindakan itu. 

“Itu tindakan yang wajar, mereka (PH) sendiri menandatangani memorandum Bersih agar pilihan raya kali ini dibuat secara telus adil dan saksama.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Keng Leong dan saya kira satu laporan polis yang dibuat beliau adalah memadai bagi membangkitkan isu berkenaan, ” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN