JOHOR BAHRU 14 Okt. – Delegasi misi kemanusiaan kerajaan negeri bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia dijangka berlepas minggu depan.
Ketua delegasi, Dr. Sahrudin Jamal berkata, surat kebenaran untuk melaksanakan misi itu telah dihantar kepada kerajaan Indonesia dan pihaknya masih menunggu pengesahan daripada pihak berkenaan.
“Kami sedang mendapatkan kebenaran daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kedutaan Indonesia. Kemungkinan kita akan berangkat ke sana minggu depan.
“Kami pergi pun tidak ramai, kemungkinan kira-kira 10 orang termasuk penglibatan sukarelawan belia,” katanya ditemui selepas merasmikan Karnival Tani Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas Jaya di Kompleks Pasar Tani Kekal Permas, di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Alwi Anang.
Sahrudin yang juga Pengerusi Jawatankuasan Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri berkata, kerajaan negeri akan memberi sumbangan sebanyak RM315,000 kepada kerajaan Indonesia.
“Bantuan itu akan diberi dalam bentuk wang tunai dan biarlah kerajaan Indonesia yang tentukan mereka ingin gunakan wang bantuan itu untuk apa.
Kami fikir untuk barangan agak susah untuk dibawa ke sana, lagipun bilangan kami tidak ramai,” katanya.











