SAINGAN sukan lasak, triathlon di Langkawi tiba tepat pada masanya sempena ulang tahun ke-40 Ironman 2018 dengan laluannya yang panjang dan berangin, selain pemandangan indah yang merangkumi pantai serta bukit bukau bakal membuka tirai pada 15 sehingga 17 November depan.
Langkawi sentiasa kekal menjadi destinasi indah serta mencabar yang perlu ditawan peserta Ironman pada setiap tahun selepas penganjuran di Malaysia pertama kali diadakan pada tahun 2000 dan sejak itu ia diadakan secara berterusan hampir dua dekad lamanya.
Walaupun terhenti seketika, Ironman Malaysia tidak menunggu lama untuk membuat penampilan semula pada 2014 di Langkawi selepas mendapat sokongan Malaysia Major Events di bawah Kementerian Pelancongan.
Juara-Pro Wanita tiga kali Ironman Malaysia, Diana Riesler mengakui penganjuran sukan tersebut di Langkawi merupakan venue yang paling unik di dunia berdasarkan pengalamannya.
“Pemandangannya cukup indah, satu acara yang dianjurkan dengan teratur dan laluan perlumbaan adalah antara yang paling unik di dunia.
“Sesiapa yang menagih cabaran Ironman yang istimewa dan berlainan wajib menyenaraikan Ironman Malaysia di Langkawi dalam jadual perlumbaan mereka,” katanya.
Sementara itu, Lim Chee Yong, 20 yang merupakan anak kelahiran Langkawi mengakui selepas bertahun-tahun menyaksikan acara tersebut semasa zaman kanak-kanaknya, kini ia telah memberi inspirasi kepadanya untuk cuba menjadi atlet dan bukan lagi sekadar pemerhati.
Pada 2017, Chee Yong menjadi anak jati Langkawi pertama dan satu-satunya atlet Malaysia melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Ironman 2018 di Kona, Hawaii.
Ternyata usianya yang muda bukan menjadi penghalang seperti Yee Sze Mun yang merupakan atlet Ironman paling senior di Malaysia yang masih bertanding walaupun usianya telah menjangkau 83 tahun.
“Ironman adalah segala-galanya mengenai manusia biasa cuba melakukan sesuatu perkara yang dianggap pada awalnya adalah mustahil.
“Saya percaya bahawa diri sendiri dapat lakukan dan terbukti saya berjaya melaksanakannya biarpun ramai peserta lain jauh lebih muda daripada saya.
“Sepanjang lebih 20 tahun terlibat dalam sukan Ironman, saya telah mengharungi banyak pahit manis, namun saya terus mempercayai diri dan langsung tidak pernah berfikir untuk berputus asa.
“Tanpa disedari, kamu akan menjadi seorang insan yang lebih baik, secara fizikal, mental dan semua aspek dalam hidup,” ujar Sze Mun yang merupakan pengarang The Bumble Bee In Me, buku yang mengisahkan perjalanan hidupnya sebagai atlet Ironman.
Ironman melibatkan gabungan kecergasan dan lasak seseorang atlet merangkumi aksi tiga disiplin iaitu berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan larian 42.2km yang perlu diselesaikan tempoh sehari.
Idea mengenai sukan triathlon bermula apabila John Collins cuba berhujah dengan sekumpulan sahabatnya mengenai siapakah di antara pengayuh basikal, perenang atau pelari layak bergelar atlet terulung.
Ternyata perdebatan tersebut memberi ilham kepada Collins untuk mengasaskan Ironman pada 1978.
“Saya mencadangkan supaya sebaik tembakan permulaan dilepaskan, masa akan dibiarkan terus berjalan sehinggakan ada atlet menghabiskan perlumbaan di tempat pertama dan pemenang itu kita panggil dia Ironman,” ujar Collins.
Ironman bukan lawak jenaka yang dikaitkan dengan watak komik Marvel yang merupakan anggota pasukan Avengers, namun kini menjadi jenama yang cukup disegani dalam kalangan peminat sukan lasak di dunia.
Biarpun permulaan secara kecil-kecilan, acara tersebut kemudiannya bertambah dari segi angka penyertaan dan nilai komersial.
Selepas 40 tahun, populariti Ironman telah berupaya menjangkau jutaan peminat di seluruh dunia.











