Mediamony, Fujifilm jalin kerjasama - Utusan Malaysia

Mediamony, Fujifilm jalin kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Anak syarikat Utusan Melayu Malaysia Bhd., Mediamony Sdn. Bhd. (Mediamony) menandatangi perjanjian kontra bernilai lebih RM400,000 dengan Fujifilm (Malaysia) Sdn. Bhd. (Fujifilm) untuk tempoh selama enam bulan berkuatkuasa 1 Oktober lalu hingga 31 Mac 2019.

Pengarah Eksekutif Mediamony, Mohd. Yazid Ahmad berkata, kerjasama tersebut menyaksikan Fujifilm akan membekalkan kamera X-H1 dan aksesori bagi kegunaan kakitangan Kumpulan Utusan serta turut menyediakan bengkel latihan serta sokongan perkhidmatan dan sokongan teknikal kepada kakitangan.

Katanya, usahasama tersebut memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua belah pihak dan Mediamony akan turut menyediakan ruang pengiklanan dan liputan media bagi Fujifilm di platform cetak dan atas talian milik Utusan.

“Sebagai sebuah organisasi media, kami di Mediamony amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Fujifilm.

“Kerjasama ini amat sesuai dengan budaya kerja kakitangan kami terutamanya jurugambar yang menggunakan kamera sebagai medium utama dalam menjalankan liputan harian,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Fujifilm, Fumiaki Sato; Ketua Bahagian Pengimejan Elektronik dan Instax Fujiflm, Hon Soon Teng; Pengurus Kanan Pengiklanan Mediamony, V. Kumar Veeran; Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan Pengurus Besar Komunikasi Korporat Utusan, Jamal Ahmed Ali Ahmad.

Sementara itu, Soon Teng berkata, kerjasama ini dilihat memberikan manfaat kepada jurugambar dan wartawan Utusan dari segi penggunaan ka­mera tanpa cermin (mirrorless) berteknologi tinggi X-H1 yang mempunyai spesifikasi dan fungsi menyamai kamera digital lensa tunggal (DSLR) tetapi jauh lebih ringan daripada DSLR.

“Sebelum ini kita melihat rakan-rakan media menggunakan DSLR yang saiznya lebih besar dan berat yang mengehadkan pergerakan mereka, dengan X-H1 saya yakin ia akan lebih memudahkan para jurugambar untuk bergerak dan menjalankan tugas sekali gus menghasilkan gambar dengan kualiti terbaik,” katanya.

X-H1 adalah kamera mewah berpres­tasi tinggi ketiga dalam rangkaian siri X keluaran Fujifilm direka bagi memenuhi keperluan jurugambar dan juruvideo profesional.

Ia merupakan kamera pertama dalam siri X yang direka dengan 5-axis in-body image stabilisation (IBIS), mod pengurangan kelipan, penambahbaikan algoritma Auto Focus dan prestasi pengesan pergerakan.

“Selain itu, kelebihan utama kamera ini adalah ia dilengkapi dengan mod ETERNA, iaitu simulasi filem dan video baharu oleh Fujifilm yang mampu menghasilkan tona serta warna yang menyerupai filem sinematik sebenar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN