LUMUT – Mayat seorang lelaki yang mula membengkak ditemui di dalam Lombong Jalan Kuari Tanjung Batu, Pantai Remis di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, bertindak di atas maklumat yang diterima daripada orang awam itu, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian pada pukul 3 petang.
“Tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai berusia dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun itu telah pun ditarik ke tepi lombong dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Manjung.
“Pemeriksaan mendapati mayat tersebut telah dibungkus dengan kanvas bewarna biru dan diikat dengan dawai besi di bahagian kepala dan kaki selain terdapat ketulan batu bata di dalam kanvas berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Muhammad Hanif, identiti mangsa bagaimanapun masih belum dapat dipastikan kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa dan kawasan sekitarnya.
Katanya, berdasarkan kepada keadaan, lelaki tersebut dikatakan telah meninggal dalam tempoh dua hingga tiga hari yang lepas berdasarkan badannya yang mula membengkak.
“Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh bagi melaksanakan proses bedah siasat.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 302 kanun keseksaan,” katanya. – K! ONLINE











