Masa sesuai untuk Malaysia kukuhkan keadaan fiskal - Bank Dunia - Utusan Malaysia

Masa sesuai untuk Malaysia kukuhkan keadaan fiskal – Bank Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Malaysia perlu mengambil peluang daripada persekitaran ekonomi global yang suram untuk mengukuhkan keadaan fiskal negara, kata Ketua Pakar Ekonomik Asia Timur dan Pasifik, Sudhir Shetty.

SUDHIR SHETTY
SUDHIR SHETTY 

Beliau berkata, Malaysia perlu melihat kemampanan ekonomi jangka panjang dan bukannya menopang pertumbuhan dalam jangka pendek.
“Sudah tiba masanya untuk mengukuh dari segi fiskal untuk memastikan penampan dibina sekiranya berlaku kejutan lebih besar daripada jangkaan.
“Sehubungan itu, dengan pertumbuhan yang lebih perlahan mungkin menjadi pengimbang kepada kestabilan yang lebih besar untuk maju ke depan,” katanya kepada pemberita semasa ‘Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik’ di sini hari ini.
Ketua Pakar Ekonomi, Ekonomi Makro, Perdagangan dan Pelaburan Bank Dunia, Richard Record ketika mengulas perkara yang sama berkata, terdapat banyak peluang bagi negara ini melaksanakan pembaharuan struktur yang mengekang pertumbuhan Malaysia pada masa lalu.

RICHARD RECORD
RICHARD RECORD 

Richard juga berkata, pembaharuan struktur perlu dilaksanakan terutama dalam bidang seperti pendidikan, kemahiran, produktiviti, persaingan serta pengawalseliaan pasaran.
“Negara juga perlu memberi penekanan kepada kualiti bukannya kuantiti pertumbuhan.
“Jika kita melihat faktor risiko, ketidaktentuan, ketegangan perdagangan dan sebagainya. Fikirkan cara untuk melindungi orang miskin daripada kesan kejutan daripada isu-isu seperti kos sara hidup, kesihatan, inflasi dan pertumbuhan upah,” katanya.
Mengenai pertumbuhan ekonomi Malaysia, Shetty berkata, negara ini dijangka mengalami kadar pertumbuhan yang lebih rendah sebanyak 4.9 peratus tahun ini berbanding 5.9 peratus tahun lepas yang mana keadaan itu disebabkan eksport, perdagangan, pelaburan awam dan penggunaan yang lebih rendah kerana beberapa projek infrastruktur yang besar telah dibatalkan, katanya.
Malaysia sangat berorientasikan eksport sehingga prospek eksport dan dagangan, secara amnya, kelihatan lebih suram berbanding enam bulan lalu dan ini akan menjejaskan prospek ekonomi Malaysia,” katanya.
Bagi Richard pula, kadar pertumbuhan Malaysia yang lebih perlahan bukanlah satu keadaan yang luar biasa, memandangkan negara sedang menghampiri status ekonomi berpendapatan tinggi.
“Ia adalah normal apabila kekayaan negara meningkat, kadar pertumbuhan ekonomi merosot,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Malaysia telah melakukan yang baik dalam meletakkan peraturan yang berhemat untuk bank, kadar pertukaran fleksibel dan rizab yang besar bagi meningkatkan keyakinan pelabur.
Menurutnya, kepelbagaian ekonomi dan eksport turut membantu dalam mengurangkan cabaran ekonomi.
“Eksport dipelbagaikan merentasi semua pasaran produk, baik di negara maju dan baru membangun di seluruh dunia dan di semua jenis produk, baik pembuatan dan komoditi serta minyak dan gas serta pertanian,” katanya.
Beliau berkata penggunaan seimbang antara eksport dan domestik juga membantu menyediakan beberapa mitigasi terhadap cabaran luaran.
“Fakta bahawa Malaysia mempunyai sumber pertumbuhan yang berbeza pasti akan membantu. Melihat pertumbuhan yang sangat kukuh dari segi luaran mungkin akan menyaksikan pertumbuhan domestik meningkat sedikit tahun depan,” katanya. – BERNAMA

Memuatkan artikel berkaitan…
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini