Masa depan arena hoki cerah - Utusan Malaysia

Masa depan arena hoki cerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARISAN pemain skuad hoki bawah 18 tahun (B-18) negara yang meraih pingat emas dalam acara hoki lima sebelah (5’s) pada Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2018 di Buenos Aires, Argentina kelmarin dilihat memiliki masa depan cerah bagi peringkat senior.

Ia susulan kenyataan Presiden Konfe­derasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal kelmarin yang mendedahkan sedikit bayangan daripada ketua jurulatih skuad senior, Roelant Oltmans dan Pengarah Teknikal MHC, Terry Walsh mengenai perancangan selepas ini.

Mungkin beberapa pemain skuad bim­bingan Wallace Tan itu akan mendapat peluang beraksi bersama pasukan senior kebangsaan berdasarkan kualiti ditunjukkan terutama penjaring terbanyak kejohanan dengan 22 gol, Muhamad Akhimullah Anuar Esook.

Penolong jurulatih, Megat Azrafiq Megat Tarmizi yang mewakili barisan kejurulatihan skuad negara di Argentina, tidak menolak kemungkinan anak-anak buahnya mampu mengecapi lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Kami tidak pernah menjangkakan kejayaan ini kerana langsung tidak menge­tahui kekuatan dan kelemahan pasukan lawan. Cuma kami sentiasa mahu memberikan aksi terbaik untuk cuba me­ngorak langkah sejauh yang mungkin.

“Apa yang saya boleh katakan adalah pemain dididik dengan baik oleh cikgu mereka di sekolah masing-masing selain mempunyai semangat juang tinggi, tidak mudah menyerah kalah dan mempercayai antara satu sama lain.

“Kejayaan ini sudah semestinya membakar semangat mereka dan rakan-rakan lain untuk layak ke Piala Dunia Hoki Remaja 2020. Mereka sangat berbakat, tidak mustahil lebih banyak kejayaan mampu diraih selepas ini,” katanya.

Selain Akhimullah, Muhammad Noor Firdaus Rosdi turut meledak tujuh gol dan tiga pemain masing-masing berjaya menjaringkan empat gol iaitu Muhammad Amirul Hamizan Azahar, Muhammad Arif Syafie Ishak serta Syarman Mat Tee.

Baki pemain-pemain skuad muda negara ialah Muhammad Muhibuddin Moharam yang mempunyai tiga gol, diikuti Muhammad Kamaruzaman Kamarudin dan dua penjaga gol, Muhammad Hamiz Mohd. Amir serta Che Shahrul Azmi Che Saupi.

Kejayaan bersejarah itu sememangnya menyuntik semangat kesemua pemain tersebut untuk merealisasikan misi sete­rusnya iaitu membantu Skuad Projek 2020 layak ke Piala Dunia Hoki Remaja 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN