Malaysian Tigers kekal rekod bersih di Oman - Utusan Malaysia

Malaysian Tigers kekal rekod bersih di Oman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKUAD hoki negara me­ngesahkan tempat ke pentas separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 meskipun berbaki satu perlawanan dalam saingan liga sepusi­ngan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, Oman.

Seri tanpa jaringan dengan juara bertahan, India pada aksi keempat awal pagi semalam sudah cukup buat Malaysian Tigers mara ke peringkat sete­rusnya dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah daripada empat perlawanan setakat ini.

Bagaimanapun ketua jurulatih, Roelant Oltmans (gambar) mahu melihat penguasaan perlawanan yang lebih bagus berbanding dipamerkan awal pagi semalam menjelang aksi terakhir liga sepusingan menentang Pakistan malam ini.

“Saya boleh berasa bangga dengan semangat berpasukan ditunjukkan terutama dari aspek pertahanan. Para pemain berdisiplin dan bekerja keras untuk tidak memberikan ba­nyak ruang kepada India yang sudah meledak 23 gol dalam kejohanan ini.

“Tempoh rehat sehari akan dimanfaatkan sepenuhnya dan selepas ini saya mahu melihat persembahan lebih baik dari segi penguasaan permainan dalam perlawanan seterusnya (menentang Pakistan),” kata­nya.

Dalam perkembangan lain, Malaysian Tigers mendapat laluan mudah dalam undian Siri Final Hoki Dunia yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada April tahun depan.

Skuad negara, No. 12 dunia, bakal berdepan cabaran Kanada, China, Austria, Brazil, Itali, Vanuatu dan Wales pada kejohanan yang merupakan salah satu peringkat kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tok­yo, Jepun.

Nasib berbeza buat skuad wanita kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang berdepan tugas sukar selepas diundi bersama Ireland, Korea Selatan, Scotland, Republik Czech, Ukraine dan Perancis pada saingan di Dublin pada Jun tahun depan.

Ini kerana Malaysian Tigress merupakan pasukan ranking dunia kelima terbaik pada kejohanan yang menawarkan dua slot automatik iaitu juara dan naib juara, untuk layak ke pe­ringkat kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN