SKUAD Harimau Malaya optimis mampu meraih keputusan positif pada perlawanan persahabatan menentang Republik Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini biarpun dihimpit masalah kecederaan beberapa pemain utama.
Antara pemain yang terpaksa digugurkan ialah Shahrel Fikri Md. Fauzi yang mengalami kecederaan ketika aksi menentang Sri Lanka, Jumaat lalu dan Mattew Davies yang cedera pada lutut semasa menjalani latihan kelmarin.
Ketua Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe berkata, jentera serangan dilihat mempamerkan peningkatan apabila tidak lagi bermain secara individu tetapi sebagai satu pasukan, sekali gus memantapkan lagi kombinasi para pemain.
Katanya, biarpun lawan mempunyai kekuatan dari segi ranking iaitu No. 91 dunia berbanding Malaysia (No. 171), namun ada beberapa perkara perlu dititikberatkan antaranya tidak boleh dibolosi awal.
“Barisan jurulatih dan pemain-pemain mempunyai keyakinan untuk mendapatkan keputusan cemerlang, lebih-lebih lagi bermain di laman sendiri dan saya pasti para pemain akan mempamerkan aksi cemerlang dengan adanya sokongan ramai.
“Esok (malam ini) adalah perlawanan persahabatan yang ketujuh buat pasukan kebangsaan dan kita boleh lihat ada peningkatan daripada satu perlawanan kepada satu perlawanan selain kesungguhan mereka dalam setiap permainan.
“Bagi perlawanan itu nanti, skuad negara akan bermain dengan kekuatan sendiri dan kita perlu melakukan serangan, namun barisan pertahanan juga perlu dimantapkan,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan menentang Republik Kyrgyzstan di Banda Hilir, Melaka semalam.
Cheng Hoe memberitahu, Akram Mahinan dan Azizan Nordin dilihat masih belum bersedia untuk diturunkan, manakala pemain-pemain lain berada dalam keadaan baik.
Jelas beliau, pihaknya tidak merancang untuk menggantikan pemain lain memandangkan latihan hanya tinggal sehari sebelum perlawanan menentang Republik Kyrgyzstan.
“Kita belum dapat memastikan siapa yang disenaraikan beraksi. Kita ada satu hari untuk merancang menyenaraikan pemain sesuai bagi perlawanan itu,” kata Cheng Hoe.










