KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-250 semalam dipersembahkan dengan taklimat terkini mengenai pertahanan dan keselamatan negara, masing-masing oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat itu turut menyentuh mengenai pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan serta Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Tan Sri Haili Dolhan dan anggota suruhanjaya berkenaan.
Pelantikan Hakim Mahkamah Khas dan Hakim-hakim Mahkamah Atasan serta perkara berkaitan agama Islam turut dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan di Istana Negara di sini, katanya.
“Majlis Raja-Raja juga dalam mesyuarat pramajlis kelmarin telah disembah maklum oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai cadangan kerajaan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan dalam perundangan yang berkaitan di Malaysia,” katanya.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










