MELAKA – Lokasi penganjuran ekspo makanan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini tular pada Sabtu lalu kerana menjual makanan berasaskan babi disertu hari ini.
Proses menyertu yang bermula pada pukul 9 pagi itu dilaksanakan oleh empat pekerja syarikat swasta dilantik oleh MITC dengan dipantau oleh pegawai daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Ia melibatkan kawasan seluas hampir 30 meter persegi dan mengambil masa kira-kira satu jam dengan cara meratakan air berserta tanah sebanyak tujuh kali basuhan.
Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIM, Mohd. Arif Rahimi Md. Sakih berkata, hanya ruang yang menempatkan tiga gerai jualan makanan tidak halal yang dikenalpasti tercemar disertu.
“Secara keseluruhannya kita mendapati proses menyertu yang dibuat mematuhi hukum syarak dan mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Pihak JAIM akan mengeluarkan surat pengesahan menyatakan kawasan itu telah disertu untuk diserahkan kepada pengurusan MITC,” katanya pada sidang akhbar di MITC hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MITC, Abdul Wahab Ibrahim.
Pada Ahad lalu, Kosmo! Online melaporkan tujuh gerai jualan makanan berasaskan daging babi yang menyertai Festival ‘Tastefully Food and Beverage’ diarahkan ditutup serta-merta selepas satu daripada gerai jualan itu tular dalam Facebook sehingga menimbulkan kemarahan netizen yang mengaitkannya dengan sensitiviti umat Islam.
Susulan itu, pihak pengurusan MITC tampil memohon maaf dan menjelaskan insiden berlaku disebabkan kesilapan teknikal membabitkan penyusunan gerai yang sepatutnya diasingkan antara makanan halal dan tidak halal.
Sementara itu, Abdul Wahab memberitahu, pihaknya memberi jaminan akan lebih peka dalam meluluskan penganjuran acara atau program terutama makanan dan minuman supaya tidak menyingung mana-mana pihak.
“MITC adalah pusat penganjuran antarabangsa, jadi semua (kaum dan bangsa) ada. Kalau penganjur hendak buat (makanan tidak halal) kita akan lihat (secara terperinci). Jika dibenarkan, ianya tidak akan bercampur.
“Kita juga mungkin akan memasukkan klausa baharu yang mewajibkan penganjur mematuhi undang-undang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna garis dan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya. – K! ONLINE











