Lima sekeluarga cemas diikat perompak - Utusan Malaysia

Lima sekeluarga cemas diikat perompak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERIAN – Lima sekeluarga berdepan detik mencemaskan apabila rumah mereka di Kampung Riih Mawang dirompak sekumpulan tiga lelaki yang bersenjatakan parang awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 pagi itu, sepasang suami isteri serta tiga anak mereka telah diikat perompak berkenaan dengan menggunakan kabel wayar, besi penyidai baju dan tuala mandi.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan, Aswandy Anis berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek memasuki rumah keluarga berkenaan ketika mereka nyenyak tidur.

Jelasnya, sebelum memasuki kediaman dan merompak mangsa, penjenayah terbabit telah memotong besi tingkap belakang rumah yang dijadikan kedai minum berkenaan.

“Lima sekeluarga itu kemudian diikat tangan oleh penjenayah berkenaan sebelum diminta menyerahkan wang tunai serta barang berharga jika tidak mahu diapa-apakan.

“Tiga perompak terbabit kemudiannya melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM400, empat telefon bimbit, dua tabung duit siling, kad pengenalan, lesen memandu serta sebuah kereta Perodua Myvi milik mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Aswandy memberitahu, kesemua ahli keluarga terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun masih trauma akibat diikat ketika suspek menggeledah rumah mereka.

Katanya, buat masa ini polis masih giat memburu ketiga-tiga suspek yang masih belum dikesan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN