JOHOR BAHRU 8 Okt. – Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun, rogol serta empat kes pecah rumah di Kluang dan Pontian ditahan di Seri Alam, Khamis lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. (gambar) berkata, lelaki berusia 24 tahun berasal dari Batu Pahat itu turut dipercayai terlibat dalam cubaan merogol di Seri Alam.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan polis berkaitan kes samun serta rogol yang berlaku di Kluang dan Pontian membabitkan mangsa berusia 22 dan 33 tahun.
“Hasil risikan dan maklumat yang diterima, unit D9 Jabatan Siasatan Jenayah menahan seorang lelaki kira-kira pukul 1.30 petang, Khamis lalu.
“Dengan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes iaitu dua kes samun dan rogol, cubaan rogol, serta empat kes pecah rumah di Seri Alam, Pontian dan Kluang,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mohd. Khalil memberitahu, suspek yang positif dadah jenis methamphetamin mempunyai tiga rekod kesalahan lampau termasuk tangkapan dadah.
Dalam tangkapan berlainan, seramai 25 warga Indonesia berumur lingkungan 24 hingga 46 tahun ditahan dalam operasi cegah jenayah Samun Rantau, semalam.
“Tiga daripada tangkapan terbabit dipercayai terlibat dalam kes samun di sekitar daerah Iskandar Puteri dan Johor Bahru Utara.
“Tangkapan selain daripada kes samun terbabit ditahan untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.










