KOTA KINABALU – Seorang lelaki melutut dan menangis tanda syukur selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskannya daripada hukuman mati atas pertuduhan mengedar dadah pada November tahun lalu.
Hakim Datuk Nurchaya Arshad menetapkan keputusan itu terhadap tertuduh, Norain Lamilah, 55, selepas meneliti hujah daripada pihak pendakwaan dan peguam yang mewakili lelaki tersebut di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, Norain didakwa mengedar 1,387.86 gram dadah di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kota Kinabalu dekat sini pada pukul 11.50 pagi, 28 November tahun lalu.
Dalam kejadian itu, Norain dikatakan menghampiri pegawai kastam bertugas untuk bertanyakan jumlah cukai terhadap bungkusan yang dipercayai milik rakannya di Indonesia.
Apabila bungkusan yang mengandungi bagasi warna merah itu dibuka untuk penilaian cukai pihak berkuasa menemui pil warna hijau dan kelabu disyaki dadag berbahaya yang disimpan dalam ruang rahsia beg terbabit.
Hasil analisis kimia mengesahkan ia adalah 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 1,387.26 gram.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pada prosiding berkenaan, pendakwan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya JKDM, Nazir Amir Johari manakala tertuduh diwakili Datuk Seri Rakhbir Singh. – K! ONLINE











