KUALA NERUS 4 Okt. – Saenchai, bekas jaguh dunia yang dianggap legenda dalam sukan tempur Muay Thai, dengan kehebatannya mempamerkan penguasaan ‘seni lapan anggota’ merupakan antara 10 petinju yang akan beraksi dalam kejohanan Cabaran Muay Antarabangsa DSPEX Terengganu, di sini malam esok.
Saenchai atau nama asalnya Suphachai Saenpong, 38, yang terkenal dengan keunikan teknik mematahkan lawan akan berdepan dengan jaguh Korea Selatan, Kim Dong Hwan, 27, yang pastinya menjanjikan pertarungan hebat di di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan negeri, Gong Badak.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Kelab Muay Thai Kubang Jela dengan kerjasama Persatuan Muay Thai Terengganu itu disasarkan mampu menarik kehadiran kira-kira 4,000 peminat sukan yang lebih dikenali sebagai Boksing Siam itu.
Pengerusi jawatankuasa penganjur, Mohd. Azmi Deraman berkata, para peminat juga akan menyaksikan perlawanan antara jaguh Muay Thai dari Wales, Luke Bar dan Petsangnuan Sanguanchai dari Thailand.
“Pertarungan antara Saenchai dan Dong Hwan merupakan tumpuan utama pada kejohanan tersebut dan pihak kami percaya, inilah yang amat dinantikan-nantikan oleh para peminat.
“Seramai enam jaguh Muay Thai tempatan juga akan berentap pada kejohanan ini bagi merebut Piala Menteri Besar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mereka terdiri daripada Mohd. Azri Nazman (Terengganu), Muhammad Qhalid Saripan (Kedah), Kabilan Jelevan Thiagarajan (Sarawak) dan Muhammad Fahmi Badruzaman (Kelab Muay Thai Polis Diraja Malaysia), Che Mohd. Maliki Che Mohd. (Terengganu) akan bertemu Nigel Choong (Kuala Lumpur).
Menurut Mohd. Azmi, kejohanan tersebut merupakan yang terbesar pernah dianjurkan di negeri ini, dan sambutan begitu memberangsangkan dengan sebanyak 3,600 keping tiket berharga RM70 setiap satu sudah terjual daripada 4,000 tiket yang disediakan. – UTUSAN ONLINE









