KEPONG 5 Okt. – Lebih 3,000 penduduk Jinjang Selatan Tambahan di sini membantah tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merobohkan penempatan yang didiami sejak 40 tahun lalu.
Wakil penduduk, K. Selvakumar memberitahu, pengusiran penduduk yang dilakukan kerajaan sejak 2015 itu adalah tindakan yang tidak berhati perut kerana penduduk tidak mempunyai pilihan untuk berpindah.
Beliau berkata, sebelum ini DBKL menjanjikan pembinaan kondominium dan pangsapuri 25 tingkat yang dibina sebagai ‘rumah ganti’ namun projek itu tidak dilaksanakan sehingga hari ini.
“Sejak tahun 2015 hingga 2017, sebanyak 137 daripada 525 buah rumah di kawasan ini telah dirobohkan.
“Kami harap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara ini sewajarnya kerana 388 lagi keluarga rumah yang tinggal di sini berdepan nasib yang sama,” katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan perobohan penempatan itu kepada Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE










