Lagi tujuh penduduk Palestin maut ditembak - Utusan Malaysia

Lagi tujuh penduduk Palestin maut ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA 13 Okt. – Tujuh orang penduduk Palestin terkorban di sepanjang sempadan Gaza selepas tentera Israel melancarkan tembakan ke arah mereka yang didakwa cuba melepasi pagar sempadan dengan membawa bom dan menyerang kubu tentera.

Insiden yang berlaku semalam menjadikan jumlah angka kematian penduduk Palestin sejak bermulanya bantahan besar-besaran yang dikenali sebagai The Great Return March pada 30 Mac lalu sebanyak 200 orang, lapor Kementerian Kesihatan Palestin.

Tambah kementerian itu, empat maut di timur Al-Bureij, tengah Gaza; dua terkorban di timur Gaza City dan seorang berdekatan Rafah, selatan Gaza.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kementerian itu yang menamakan salah seorang mangsa sebagai Mohammed Abbas, maut akibat ditembak di kepala, berkata kesemua mangsa adalah lelaki berusia antara 17 dan 29 tahun.

Ujar pasukan perubatan Gaza, kira-kira 140 orang juga dilaporkan cedera semalam.

Sementara itu, tentera Israel mendakwa penunjuk perasaan yang dianggarkan seramai 15,000 orang telah membaling batu, bahan letupan, bom api dan bom tangan ke arah mereka serta pagar sempadan.

Susulan insiden berkenaan, Israel bertindak menyekat bekalan minyak ke Gaza.

Dalam perkembangan berlainan, Israel, Syria dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersetuju untuk membuka laluan Quneitra di Golan Heights pada Isnin yang didakwa akan dapat meningkatkan perdamaian.

Pasukan Pemerhati Pengunduran PBB (UNDOF) bertindak memantau operasi zon bebas tentera yang ditubuhkan pada 1974 antara Golan dan sektor Syria, tetapi misi keamanan berkenaan terjejas akibat perang saudara Syria.

Dalam pada itu, kajian yang dikeluarkan Israel dan dikongsi bersama Washington mendakwa jumlah tahanan Palestin hanya ribuan orang dan bukannya jutaan seperti didakwa oleh Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA). Bagaimanapun, tiada penjelasan diberikan bagaimana angka berkenaan diperoleh. – AFP/REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini