WASHINGTON – Kempen mengutip derma orang ramai secara online anjuran dua kumpulan Islam di Amerika Syarikat (AS) meraih kutipan hampir AS$80,000 (RM334,400).
Derma itu untuk disalurkan kepada mangsa yang terselamat dalam insiden tembakan di saumaah atau rumah ibadat orang Yahudi di Pittsburgh dan waris 11 mangsa yang terbunuh.
Kempen di platform mengumpul derma, LaunchGood itu berjaya mencapai sasaran awal sebanyak AS$25,000 (RM104,500) dalam masa enam jam, sasaran kedua berjumlah AS$50,000 (RM209,000) selepas sehari dan kini menyasarkan kutipan sebanyak AS$100,000 (RM418,000).
Ia dianjurkan oleh kumpulan Islam AS tidak bermotifkan keuntungan iaitu CelebrateMercy dan MPower Change.
“Kami ingin membalas kejahatan dengan kebaikan, sebagaimana yang dituntut oleh agama kami dan menghantar mesej belas kasihan menerusi tindakan,” kata dua kumpulan tersebut dalam satu kenyataan.
Kutipan wang itu akan disalurkan untuk memenuhi keperluan jangka pendek mangsa yang tercedera dan ahli keluarga yang masih bersedih, termasuk perbelanjaan pengebumian dan bil perubatan.
“Menerusi kempen ini, kami berharap dapat menghantar mesej perpaduan daripada komuniti Yahudi dan Islam bahawa tiada tempat untuk kebencian dan keganasan seperti ini di AS. – AFP










