KUALA LUMPUR 29 Okt. – Majoriti kontraktor bumiputera sedang berhadapan dengan ‘pengalaman ngeri’ hampir setahun akibat penangguhan dan pemberhentian projek penyelenggaraan oleh kerajaan.
Keadaan itu menyebabkan kebanyakan mereka terpaksa ‘gali lubang tutup lubang’ seperti berhutang dengan saudara-mara dan menukar kerja lain seperti menjaja di pasar malam atau tepi jalan serta membawa teksi demi meneruskan kehidupan masing-masing.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf), Tukiman Radion berkata, rata-rata 6,000 lebih ahli persatuan itu juga mengadu ‘mati akal’ untuk memberi alasan apabila menerima panggilan bank berhubung pembayaran ansuran kereta dan rumah yang tertunggak.
“Tiada masalah jika kerajaan menghentikan projek mega akibat kekangan kewangan tetapi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih bangunan atau jalan sedia ada perlu diberikan melalui undi terbuka kepada kontraktor bumiputera.
“Saya merayu sangat kepada kerajaan baharu supaya merangka Belanjawan 2019 nanti dengan mengambil kira nasib kontraktor bumiputera kerana kehidupan kami ketika ini cukup melarat apabila peluang untuk mendapatkan projek disekat orang dalam jabatan dan campur tangan politik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Laporan khas Utusan Malaysia hari ini melaporkan 1,600 orang hilang pekerjaan setiap bulan atas pelbagai alasan termasuk keadaan ekonomi global yang meruncing dan perubahan landskap politik negara.
Dalam nada sama, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kelantan, Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan keadaan tersebut berterusan kerana impak sektor pembinaan bukan hanya melibatkan golongan kontraktor.
Katanya, 60 peratus pembekal bahan binaan dan 20 peratus buruh tempatan turut hilang pendapatan apabila banyak projek kerajaan ditangguh serta dihentikan.
“Kontraktor bumiputera bukan menagih ‘tongkat’ berterusan daripada kerajaan tetapi mahu peluang baharu yang sama rata terus diberikan,” katanya yang mengakui satu pertiga daripada 30,000 ahlinya di seluruh Malaysia hilang sumber pencarian hingga terpaksa gulung tikar.










