KUALA LUMPUR: Penyanyi rap dan komposer, Kmy Kmo menzahirkan kerinduan terhadap penganjuran acara kebudayaan berskala besar seperti Keretapi Sarong yang disifatkan sebagai medium acara terbaik dalam menyatukan rakyat pelbagai kaum serta memperkenalkan warisan negara kepada pelancong antarabangsa.
Menurut Kmy, acara seumpama itu bukan sahaja mencerminkan keunikan Malaysia sebagai negara berbilang budaya, malah mampu mencipta pengalaman bermakna kepada pelancong yang berpeluang menyaksikan sendiri kepelbagaian seni tempatan.
“Saya tertanya-tanya sama ada tahun ini masih ada penganjuran Keretapi Sarong atau mungkin saya terlepas. Hakikatnya, saya sangat merindui suasana acara yang sarat dengan warna-warni seni kebudayaan seperti ini.
“Lebih menarik apabila pelancong luar negara turut serta, berinteraksi dan bertanya tentang pakaian tradisional, muzik serta tarian daripada pelbagai etnik di negara kita, dari Sabah dan Sarawak hinggalah ke seluruh negeri di Semenanjung,” katanya.
Kmy berkata, penganjuran acara sedemikian juga memberi nilai tambah dari sudut promosi pelancongan apabila pengunjung antarabangsa berkongsi pengalaman mereka di media sosial.
“Bayangkan pelancong luar negara dapat menyaksikan sendiri di hadapan mata mereka, merakam dan seterusnya berkongsi kandungan kepada khalayak global.
“Secara tidak langsung, mereka mempromosikan keindahan seni kita seperti Pencak Silat, Tarian Kipas, Kolattam, Sumazau, Magunatip, Ngajat Berayah, Zapin Sindang, Dikir Barat, Wau Bulan, Congkak dan Wayang Kulit. Jika diselitkan dengan elemen muzik fusion atau etnik moden, suasananya pasti lebih segar dan meriah, seumpama sebuah sambutan ‘family day’ berskala besar untuk seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya di Threads.
Dalam pada itu, Kmy mendedahkan dia bersama pasukannya sebenarnya telah merangka pelan penganjuran acara sedemikian, namun mengambil keputusan untuk menangguhkannya buat sementara waktu.
“Kami sebenarnya sudah lama mempunyai perancangan lengkap, termasuk konsep dan pelaksanaan acara ini. Namun, terdapat kebimbangan ia tidak dapat direalisasikan seperti yang diharapkan.
“Justeru, kami memilih untuk menyimpan dahulu perancangan tersebut. Saya berharap suatu hari nanti akan ada pihak penganjur yang mampu menganjurkan acara sebesar ini di tengah-tengah Kuala Lumpur,” katanya.
Kmy kini memberi tumpuan kepada keluarga serta meneruskan komitmen dalam bidang seni, di samping berharap acara kebudayaan berskala besar dapat dianjurkan semula pada masa hadapan.
“Buat masa ini, saya lebih selesa membawa keluarga menghadiri acara sebagai pengunjung dan terus aktif membuat persembahan. Saya berharap suasana meriah seperti ini akan kembali dan dapat dinikmati bersama oleh seluruh masyarakat,” katanya.










