MOSCOW – Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh semalam dalam letupan di sebuah kolej teknikal di bandar Kerch di Semenanjung Crimea yang menghadap Laut Hitam, kata seorang wakil jawatankuasa antikeganasan Rusia.
“Menurut maklumat, seramai 18 orang maut dan 40 yang lain cedera,” kata jurucakap Jawatankuasa Antikeganasan Kebangsaan, Andrei Przhedomskikh dalam satu wawancara dengan agensi berita TASS.
Beliau berkata, letupan berlaku di kafetaria kolej itu.
Menurutnya lagi, bangunan kolej tersebut dikosongkan selepas letupan berlaku.
TASS memetik jawatankuasa antikeganasan berkenaan sebagai menyatakan, suspek serangan itu menembak diri sendiri dan mayatnya ditemui dalam kolej tersebut.
Agensi berita Interfax pula melaporkan semalam bahawa serangan itu dilakukan oleh pelajar lelaki kolej tersebut yang dikenali sebagai Sergei Aksyonov dan berumur 22 tahun.
Terdahulu, pengarah kolej itu, Olga Grebennikova dipetik sebagai berkata bahawa sekurang-kurangnya seorang penyerang meletupkan diri dalam kolej tersebut.
Rusia merampas wilayah Crimea daripada Ukraine pada 2014. – AFP/Reuters










