KUALA LUMPUR 14 Okt. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu membatalkan penganjuran pesta arak, Oktoberfest sekiranya masih mempunyai rasa sayang kepada rakyat.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, hal itu kerana penganjuran kempen tersebut langsung tidak membawa manfaat kepada rakyat malahan mampu menyebabkan keharmonian masyarakat terjejas.
“Tidak ada satu agama pun yang membenarkan penganutnya mabuk dan bertindak di luar batasan kerana sudah hilang kewarasan.
“Alasan pesta tersebut dilakukan secara tertutup tidak relevan. Bagaimana pula sekiranya anak muda menganjurkan pesta dadah secara tertutup? Khayal dan mabuk adalah perkara yang hampir sama,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan majlis penutup dan penyampaian sijil program kursus asas bekam anjuran Avicenna Academy Malaysia di Hotel Garden Avenue, dekat sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











