LANGKAWI – Kerajaan baharu Malaysia akan memastikan pembangunan seni dan budaya sebagai aset negara akan seiring dengan pembangunan lain di negara ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakthtiar Wan Chik berkata, dua elemen itu memainkan peranan penting untuk memacu kemajuan Malaysia dengan lebih baik agar dikenali bukan sahaja menerusi bangunan pencakar langit dan infrastruktur hebat tetapi juga sebagai sebuah negara yang “berjiwa”.
“Aspirasi Malaysia Baharu ialah menjadi sebuah negara yang mempunyai ketamadunan yang bukan sahaja dibangunkan dengan baik tetapi juga kaya dari segi kesenian, kebudayaan dan warisan,” katanya semasa merasmikan Persidangan Kesenian dan Reka Bentuk Antarabangsa (AICAD) Kedua di sini hari ini.
Persidangan empat hari yang bermula semalam itu dianjurkan secara bersama oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Perak serta Balai Seni Negara dan menghimpunkan lebih 100 peserta dari dalam dan luar negara antaranya Jepun, Bangladesh, Indonesia, Thailand dan Pakistan.
Beliau berkata, penglibatan Balai Seni Negara sebagai agensi di bawah kementeriannya dalam persidangan tahun ini menunjukan iltizam kerajaan untuk menjana lebih banyak kegiatan dan program bagi industri seni. – Bernama










