SAYA telah berkhidmat selama 15 tahun sebagai pramugari di dalam syarikat penerbangan negara. Saya telah menjelajah ke serata dunia dan menjejakkan kaki ke banyak negara.. Pada suatu hari ketika di dalam penerbangan menuju ke Frankfurt…” Nora terdiam sambil mengetap bibirnya. Dia menanggalkan cermin matanya. Matanya mulai berkaca-kaca. Ustazah Haniah tenang di hari pertama mengendalikan kelas mengaji dewasa pengambilan pertama pada tahun ini.
“Ketika di dalam penerbangan ke Frankfurt, sewaktu saya menghidangkan makanan kepada seorang penumpang wanita warga Jerman, saya melihat di tangannya ada senaskhah terjemahan al-Quran berbahasa Inggeris.
Lalu saya bertanya kepada dia, dan jawabnya dia membaca terjemahan al-Quran itu kerana dia mahu tahu apakah sebenarnya isi kandungan dan cerita-cerita di dalam al-Quran. Sambil memandang saya dia bertanya: Bukankah al-Quran ini kata-kata Tuhan? Kemudian dia tersenyum kepada saya.
Sebenarnya pada ketika itu saya merasakan saya seperti baru sahaja dilempang. Iya benar kerjaya saya telah membawa saya menjelajah ke seluruh pelusuk dunia tetapi tidak membawa saya menjelajahi al-Quran. Benar, kerjaya sebagai pramugari telah menjejakkan kaki saya ke banyak negara-negara di dunia tetapi tidak membawa hati saya menjejaki al-Quran.
Mulai saat itulah terdetik di hati saya untuk kembali mendampingi al-Quran yang telah lama saya tinggalkan. Lantas saya mengambil keputusan untuk bersara dan kembali ke kampung halaman serta mencari guru bagi saya memperbaiki hubungan dengan aal-Quran.” Ujar Nora mengakhiri ceritanya.
“Nama saya Nadir. Saya seorang pegawai polis. Sepuluh tahun yang lalu saya telah terlibat dalam satu serbuan di sebuah kelab malam di ibu kota. Dalam serbuan itu saya telah menangkap seorang pemuda Melayu berusia lingkungan dua puluhan yang berada di dalam pengaruh dadah dan alkohol. Sewaktu pergelutan dengannya dia sempat mencapai sebiji botol arak dan menggunakannya untuk memukul kepala saya. Parut di dahi inilah kesan dari perbuatannya.” Kata Nadir sambil menunjukkan parut hampir dua inci panjangnya itu.
“Akibat kecederaan itu saya telah menerima lima belas jahitan di bahagian dahi dan parut inipun kekal. Semasa terjatuh akibat hentaman dari botol arak itu saya masih lagi sempat memaut kaki pemuda itu dan merebahkannya lalu melepaskan beberapa tumbukan ke wajahnya pula. Saya sama sekali tidak akan melupakan wajah orang yang telah mencacatkan rupa paras saya ini. Pemuda itu telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana turut disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah jenis syabu dan menjalani hukumannya di penjara Simpang Renggam. Tujuh tahun selepas itu saya ditugaskan di Balai Polis Simpang Renggam. Dua tahun yang lalu pihak penjara Simpang Renggam telah menganjurkan musabaqah tilawatil dan hafazan al-Quran untuk para banduan di penjara itu.
Kami dari Balai Polis Simpang Renggam turut dijemput hadir bagi memeriahkan lagi majlis. Di situ saya tersua kembali dengan Naufal, pemuda yang melukis parut di wajah saya ini. Cuma pada kali ini saya benar-benar…” Nadir mengendurkan nada suaranya dan berhenti dari menyambung cerita.
“Apa seterusnya yang berlaku tuan?” Soal Ustazah Haniah.
“Saya benar-benar tersentak tatkala Naufal Hadi dinobatkan sebagai johan hafazan al-Quran 30 juzuk. Ketika namanya di umumkan mata saya membidik tajam raut wajahnya.
Sebaik selesai upacara penyampaian hadiah saya segera mendekatinya. Buat beberapa detik kami bertentang mata sebelum Naufal menghampiri saya sambil menarik tangan kanan saya lantas mengucupnya. Dia mengucapkan terima kasih kepada saya kerana telah menangkap dan memenjarakannya. Jika tidak kerana itu usahkan menghafal 30 juzuk malah tiga ayat dari satu surah terpendek pun belum mampu dia dapat menghafalnya. Katanya lagi biarpun jasadnya terkurung di dalam penjara, namun jiwanya bebas menuju Allah tanpa gangguan. Hasil pertemuan itu saya juga merasai hal yang sama dengan yang dirasai oleh saudari Nora. Saya rasakan satu lempangan singgah di pipi.
Masakan aku seorang pegawai polis tidak mampu menjadi sebaik atau lebih baik dari penjenayah yang pernah aku tangkap dahulu? Mengapa dia boleh menghafal semua surah di dalam al-Quran sedangkan aku asas tajwid pun tunggang langgang? Berbagai-bagai persoalan menerjah ke dalam diri saya. Saya berasa cemburu dengan Naufal. Malah lebih dari itu saya berasa malu dengan dia. Saya bertekad selepas ini walau di mana jua saya diarahkan bertugas saya pasti akan meluangkan masa untuk mendalami ilmu al-Quran. Insya-Allah.”
“Insya-Allah Tuan Nadir, semoga Allah merestui niat suci kita.” Ujar Ustazah Haniah.
“Puan Suraya, bagaimana pula dengan Puan?” Tanya Ustazah Haniah.
“Oh, saya ini pula rasa dilempang dengan kata-kata dari suami sendiri.” Kata Suraya sambil tertawa kecil. Manakala semua yang lain pula tersenyum memandang Suraya.
“Saya ni suri rumah tangga separuh masa.”
“Eh, apa pula maksud Puan separuh masa tu? Macam permainan bola sepak pula kedengarannya.” Sampuk Tuan Nadir diikuti dengan ketawa yang lain-lain.
“Suami sayalah yang cakap macam tu. Katanya separuh masa lagi saya asyik menatap muka buku dan sibuk berciap. Ada satu malam tu anak saya minta tolong buat kerja sekolah dia. Saya pun konon-kononnya tolonglah tapi hakikatnya tangan dan mata terarah pada telefon pintar. Suami saya perasan perlakuan saya itu, lalu dia pun datang menghampiri kami.
Katanya, mari sini ayah tolong selesaikan soalan matematik kamu. Apabila sudah siap, dia suruh anak buat kerja sekolah pendidikan Islam pula. Walaupun jari dan mata saya memang pada telefon pintar tapi telinga saya mencuri dengar perbualan mereka.
Anak kami kata, ustaz tak bagi kerja rumah untuk mata pelajaran pendidikan Islam. Si ayah pula jawab sambil berkata, pendidikan Islam ni tak perlu ustaz bagi baru nak buat kerana setiap perkara yang berfaedah dan baik maka itulah dia pendidikan Islam. Si anak pula tanya pada si ayah, contohnya apa ayah? Si ayah pun jawab, contohnya perkara yang kita boleh dapat pahala hanya dengan sekadar melihatnya. Iaitu melihat al-Quran. Sekadar melihatnya pun dah dapat pahala, inikan pula jika dipelajari dan dibaca serta diajarkan kembali. Pasti Baginda Rasulullah SAW juga akan tersenyum bangga dengan kita.
Itulah kata-kata keramat suami saya yang telah melempang saya. Strategi serampang dua matanya itu menjadi. Hati saya rasa tercuit pada ketika itu. Tapi jari jemari saya masih lagi menatal skrin telefon pintar di dinding muka buku dan tidak semena-mena dengan takdir Allah SWT saya ternampak iklan kelas mengaji al-Quran ini. Maka tanpa berlengah saya terus menghubungi nombor telefon yang disertakan. Begitulah ceritanya.”
“Jika tidak keberatan boleh saya tahu apa pekerjaan suami puan?” Tanya Tuan Nadir kepada Suraya.
“Ah kalau dah namanya polis memang semua nak tanya ya?” Kata Suraya lantas disambut ketawa yang lain-lain.
“Baiklah, untuk tidak menghampakan rakan sekelas, suami saya sebenarnya seorang doktor psikiatri.” Sekali lagi Suraya membuat kelas mengaji riuh dengan suara ketawa. Tinggal seorang lagi yang belum memperkenalkan dirinya. Ustazah Haniah memberi isyarat agar dia memulakan serba sedikit kisah mengenai dirinya.
“Nama saya Daud. Saya seorang guru vokal dan pengubah lagu. Dipendekkan cerita, sewaktu saya diberi kepercayaan oleh sebuah stesen televisyen berbayar untuk mencari bakat baru bagi satu program realiti tv saya telah didatangi oleh seorang peserta uji bakat yang berjaya melempang ego saya.”
“Oh! Adakah awak DD komposer lagu yang masyhur itu? Awak kelihatan sangat berbeza setelah tidak lagi berambut hijau dan mengenakan cermin mata.” Kata Suraya.
“Tidaklah semasyhur mana Puan. Penghuni langit haram tak kenal saya pun. Disingkatkan lagi cerita, peserta uji bakat yang hadir itu terus melantunkan bacaan Al-Fatihah yang paling merdu pernah saya dengar.
Selepas itu dia berkata, Al-Fatihah itu adalah rukun solat, sebarang kesilapan ketika membacanya akan menyebabkan tuan tersingkir dari solat. Sebelum dia beredar, dia meninggalkan satu soalan buat saya; adakah tuan bangga menjadi seorang lelaki Melayu Islam? Mulai hari itu saya mengambil keputusan untuk bersara terus dari bidang hiburan, maka itulah sebabnya saya di sini.”










