KOTA BHARU – Kelantan dijangka menerima hujan lebat pada bulan November dan Disember ini iaitu 45 peratus daripada 2,700 milimeter purata taburan hujan tahunan untuk tiga bulan terakhir tahun ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Kelantan, Datuk Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, bagaimanapun keadaan itu dijangka tidak mengakibatkan banjir besar seperti yang berlaku pada 2014.
Beliau berkata, walaupun data meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan baki jumlah purata taburan hujan tahunan ini agak membimbangkan namun mereka yakin banjir tidak akan seteruk seperti bencana besar pada 2014.
“Sebaliknya keadaan mungkin sama seperti tahun lalu,” kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Katanya mengikut ramalan hujan lebat akan berlaku di kawasan pantai pada bulan November dan beralih ke kawasan pedalaman seperti Kuala Krai dan Machang pada Disember. – Bernama










