KUALA LUMPUR 28 Okt. – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka akan sedikit melemah kepada 4.6 peratus pada suku keempat 2018 (4Q18).
Ia susulan pertumbuhan KDNK suku ketiga 2018 (3Q18) dianggarkan lebih kukuh pada 4.9 peratus disokong oleh peningkatan permintaan daripada pengguna susulan cuti cukai antara Jun hingga Ogos, menurut Kenanga Investment Bank Bhd.
Kenanga IB dalam laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia 4Q18 berkata, disebabkan itu, pertumbuhan KDNK untuk separuh kedua 2018 (2H18) dijangka perlahan kepada 4.8 peratus daripada 4.9 peratus pada separuh pertama 2018 (1H18).
Firma itu menambah, perkara itu sekali gus menjadikan unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini kepada 4.8 peratus, daripada 5.9 peratus tahun lepas.
“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sentiasa terdapat kedua-dua risiko makroekonomi dan polisi ketika kerajaan baharu menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini.
“Ia termasuk cabaran dalaman seperti hutang yang tinggi dan defisit diskal yang meningkat, serta luaran merangkumi perang perdagangan, rizab persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang mengetat, kitaran permintaan teknologi yang memuncak dan kelembapan ekonomi global,” kata Kenanga IB dalam laporan itu di sini hari ini.
Menurut Kenanga IB, tempoh ‘pelarasan’ kerajaan baharu akan terus memberi kesan kepada untuk sekurang-kurangnya setahun lagi.
“Ditambah dengan jangkaan pertumbuhan KDNK global yang kurang memberangsangkan tahun depan, kami mengunjurkan pertumbuhan KDNK negara akan kekal lemah pada 4.7 peratus untuk tahun 2019,” jelasnya.
Kenanga IB berkata, rancangan kerajaan mengurangkan perbelanjaan operasi (opex) dalam manifesto sebelum PRU-14 dengan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan memperkenalkan semula subsidi bahan api akan memberi kesan kepada lembaran imbangan kerajaan.
Jelasnya, inisiatif itu akan mengehadkan pilihan dan sumber dasar fiskal untuk menyokong ekonomi meskipun dengan pendapatan yang lebih tinggi daripada minyak mentah.
“Oleh itu, kami menjangkakan Bajet 2019 akan kurang dikembangkan dan defisit fiskal melebihi tiga peratus untuk tahun ini dan 2019,” kata firma itu.
Menurut Kenanga IB, seiring dengan trend pertumbuhan eksport yang menyederhana dan ketidakpastian dalam makroekonomi, firma itu mengekalkan unjuran lebih akaun semasa yang lebih rendah pada dua peratus daripada KDNK untuk tahun ini.
“Dengan tekanan berterusan dalam kalangan pasaran baharu muncul, ringgit dijangka terus berada di bawah tekanan, dan mencapai RM4.20 berbanding dolar AS dalam masa terdekat sebelum berlegar sekitar RM4.15 menjelang hujung tahun.
“Dan dengan prospek ekonomi yang kurang menarik tahun depan, kami menyemak semula unjuran nilai ringgit berbanding dolar AS kepada RM4.10 daripada RM3.85 sebelum ini,” jelasnya.










