Kampung Orang Asli terdedah hakisan bukit - Utusan Malaysia

Kampung Orang Asli terdedah hakisan bukit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 8 Okt. – Lebih 500 keluarga Orang Asli suku Temiar di lebih lima kampung sekitar Lojing, di sini, terdedah kepada bahaya hakisan bukit yang digondolkan oleh syarikat ladang sayur sejak awal tahun ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati para penduduk amat bimbang setiap kali hujan lebat kerana hakisan akan berlaku sehingga hampir menimbus rumah mereka.

Antara kampung terbabit ialah di Kampung Sendrop, Kampung Sangwai, Kampung Brooke Lama, Kampung Lojing dan Kampung Jedip.

Ketua Penghulu Orang Asli negeri, Bidi Ronggeng berkata, bukit yang digondol syarikat ladang sayur terlalu hampir dengan kediaman penduduk.

Katanya, sebelum ini ramai keluarga Orang Asli terpaksa lari menyelamatkan diri sebaik dikejutkan dengan kejadian banjir lumpur.

“Penduduk di Kampung Sangwai terpaksa bermalam di dewan orang ramai terletak jauh daripada kawasan hakisan itu sementara menunggu hujan berhenti.

“Kami bimbang kerana penduduk di kampung terbabit akan berdepan dengan hakisan itu lebih kerap dan membahayakan kerana musim tengkujuh sudah bermula,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim yang meninjau kawasan hakisan selepas menerima beberapa aduan daripada penduduk Orang Asli mendapati hakisan tersebut serius dan boleh mengancam kese­lamatan.

“Kita dimaklumkan syarikat ladang sayur menyodok dan menggondol bukit tanpa mengikut peraturan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN