MENCERITAKAN kejadian pada Mac, 2014 yang hampir meragut nyawanya, Abdul Aziz Mohamad berkata, beliau merupakan seorang daripada dua anggota bomba yang dihantar meninjau kawasan kebakaran tanah gambut di Taman Siber, Cyberjaya.
Menurut anak kelahiran Kuala Terengganu itu, tinjauan tersebut bertujuan untuk membahagikan tapak pemadaman kepada dua kumpulan bagi kerja-kerja memadam bara tanah gambut yang sangat rumit berbanding kebakaran bangunan.
“Ketika sedang berjalan, tiba-tiba kedua-dua kaki saya seolah-olah ditelan bumi, namun tangan saya sempat berpaut pada dahan dan ranting yang berada di sekeliling. Rakan setugas saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang akan menerima nasib yang sama.
“Oleh itu, dia cuba mendapatkan bantuan anggota lain yang sedang menunggu tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya baru-baru ini.
Menurut Abdul Aziz, beliau berjaya keluar daripada tanah gambut jerlus yang dipenuhi sekam dan bara api sebelum berlari mendapatkan rakannya yang tiba dengan menaiki kenderaan lasak all-terrain vehicle (ATV).
Ujarnya, ketika itu kulit kakinya sudah terasa seperti dicarik-carik berikutan bara dan juga sekam api telah memasuki kasut but yang dipakai, bagaimanapun cubaan untuk menanggalkan kasut tersebut gagal.
“Anggota lain berjaya mencabut kasut saya yang tapaknya sudah hampir cair dan mendapati stoking yang saya pakai sudah pun melekat dengan kulit. Tanpa berlengah, mereka terus menghantar saya ke hospital terdekat untuk mendapat rawatan,” ceritanya kepada wartawan Mega Wira baru-baru ini.
Akibat daripada kejadian itu, Abdul Aziz terpaksa menjalani pembedahan sebanyak dua kali bagi memulihkan kakinya yang melecur teruk dan beliau terlantar di hospital di Kuala Terengganu selama beberapa bulan sebelum pulang semula ke Cyberjaya untuk meneruskan tugas.
Tambahnya, yang telah 14 tahun berkhidmat dengan pasukan bomba, walaupun trauma, beliau tekad untuk meneruskan tugas bersama pasukan penyelamat itu.
“Setiap kali ada kejadian belukar terbakar terutama di kawasan tanah gambut, saya masih seram sejuk, namun itulah yang saya perlu hadapi demi tugas.
“Kejadian itu juga menjadikan saya dan rakan-rakan lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas supaya kejadian sama tidak berulang lagi,” ujarnya yang mempunyai tiga cahaya mata.











