KOTA BHARU 15 Okt. – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sudah mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana sebagai persediaan awal untuk berdepan banjir sepanjang tempoh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November ini.
Pengarahnya, Muhammad Zahari Othman berkata, bukan itu sahaja operasi bencana turut diaktifkan bagi memastikan proses pengurusan sepanjang tempoh peperiksaan itu berjalan lancar.
Menurutnya, operasi bencana itu mendapat kerjasama Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM),; Tenaga Nasional Berhad (TNB); polis dan tentera serta Pejabat Tanah Jajahan.
“Insya-Allah dengan kerjasama dan segala kesiapsiagaan yang telah dirangka ini mudah-mudahkan SPM kali ini berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Anugerah Pembestarian Sekolah 2018 Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan di sini hari ini.
Muhammad Zahari memberitahu, selain itu pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk memastikan kelancaran peperiksaan SPM membabitkan calon orang asli berjalan lancar. – UTUSAN ONLINE










