Jangan main 'tembak rambang' - Utusan Malaysia

Jangan main ‘tembak rambang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 17 Okt. – Tindakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang terlalu agresif menyerang pesaingnya dalam pemilihan PKR kali ini dengan pelbagai tuduhan berat, dilihat boleh merosakkan keharmonian dan menjejaskan imej parti.

Sebaliknya tegas Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd. Rahman, Rafizi perlu tampil mengemukakan bukti sebelum melemparkan sebarang tuduhan termasuk dakwaan terbaharunya bahawa wujud masalah politik wang dalam pemilihan kali ini.

Katanya, tindakan melulu calon Timbalan Presiden PKR itu hanya mengeruhkan lagi keadaan sedangkan perkara yang dibangkitkan Rafizi itu masih belum terbukti kebenarannya.

“Sepanjang tempoh pemilihan PKR dijalankan, hanya Rafizi begitu bersemangat menggunakan media sebagai medium untuk menjatuhkan pesaingnya.

“Jika betul pun masalah itu (politik wang ) berlaku, sepatutnya dia mengadu perkara ini kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), bukannya dicanangkan kepada umum melalui media. Malah sehingga semalam, difahamkan JPP masih tidak menerima satu pun aduan mengenai dakwaannya itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd. Sukirman Mustafa berkata, tuduhan tersebut amat serius kerana melibatkan soal integriti serta hala tuju parti.

“Selaku Naib Presiden par­ti, beliau tahu apa yang berlaku dan impak daripada kenyataannya. Jadi mungkin dakwaan yang dibuat beliau berasas, ini kes serius bukan perkara main-main kerana silap hari bulan parti akan menerima kesan yang amat buruk.

“Kalau betul dakwaan itu dan ada bukti, beliau (Rafizi) sepatutnya membawa terus ke Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) atau melalui JPP untuk disiasat tidak perlu diperbesarkan dalam media,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN