PORT DICKSON – Polis mengingatkan penyokong semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson agar mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang provokasi semasa hari pengundian esok.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan kekecohan atau ketegangan.
“Pihak polis berada dalam kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi PRK Port Dickson. Semua persiapan merangkumi sumber manusia dan logistik mencukupi dan polis akan membuat pemantauan menyeluruh bagi kawalan keselamatan di pusat pengundian agar berjalan dengan baik,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, 800 anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dan seluruh kontinjen Negeri Sembilan diatur gerak untuk bantuan penugasan bagi memastikan kelancaran proses pengundian selain bagi tujuan keselamatan.
Aidi Sham berkata, pihaknya juga akan memperketatkan kawalan keselamatan di tiga lokasi panas yang mungkin boleh menimbulkan kekecohan atau ketegangan, di Bukit Pelanduk, Pekan Lukut dan Linggi. – Bernama











