MELAYARI bahtera cinta sehingga ke jenjang pelamin pasti menjadi impian setiap pasangan yang bercinta. Selepas mendirikan rumah tangga, bermulalah kewajipan sebagai suami atau isteri.
Kehidupan juga tentulah berbeza semasa hidup membujang kepada hidup berdua khususnya dari segi hubungan intim sebagai suami isteri.
Namun, selama lebih setahun berkahwin, Nora (bukan nama sebenar), 24, menjalani kehidupan bak dalam neraka gara-gara tindakan suaminya, Rizal (nama samaran), 25, yang gemar memaksanya melakukan hubungan seks ganas.
Cerita Nora, dia mengenali Rizal ketika sama-sama menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara.
“Rizal seorang lelaki yang kacak dan menjadi kegilaan ramai wanita di tempat kami belajar.
“Saya berasa amat teruja apabila pada satu hari dia melahirkan minatnya terhadap saya dan mengajak kami berjanji temu,” katanya.
Tambahnya, walaupun Rizal mempunyai ramai rakan wanita yang rapat dengannya, namun ia tidak menghalang dia daripada menerima pelawaan Rizal untuk keluar bersama.
“Hubungan kami kemudian berjalan lancar dan ramai wanita yang berminat dengan Rizal sebelum ini berasa cemburu dengan saya.
“Ketika itu, saya berasa seperti wanita yang paling bertuah di dunia ini,” katanya.
Ganas
Jelasnya lagi, sepanjang bercinta dengan Rizal, dia tidak nampak sebarang kekurangan lelaki berkenaan yang disifatkannya sebagai seorang yang bersopan santun dan pandai menghormati orang tua.
“Selepas menamatkan pangajian, saya dan Rizal akhirnya mengambil kata sepakat untuk mendirikan rumah tangga.
“Walaupun majlis perkahwinan kami tidak diadakan secara besar-besaran memandangkan kami baru bekerja, namun saya berasa amat bahagia ketika itu kerana dapat bersuamikan lelaki kacak dan baik seperti Rizal,” katanya.
Rizal juga tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab sebagai suami sama ada zahir dan batin.
Bagaimanapun, menurut Nora, keindahan hidup berkelamin itu tidak kekal apabila sikap Rizal bertukar ganas dan pelik selepas sebulan berkahwin.
“Rizal gemar menonton video lucah setiap kali sebelum kami melakukan hubungan kelamin. Malah, dia juga akan memaksa saya menonton bersamanya kononnya untuk membangkitkan nafsu kami.
“Selepas menonton, Rizal akan melakukan pergerakan dan gaya yang sama seperti video yang kami baru tonton. Ada kalanya dia akan melakukan aksi ganas seperti video yang ditonton dengan mencekik leher dan menampar anggota badan saya,” ceritanya.
Tambah Nora, walaupun mengadu kesakitan dan meminta Rizal berhenti berkelakuan ganas, suaminya itu seperti dirasuk syaitan dan berterusan melakukan seks ganas.
Derhaka
“Leher dan badan saya sering lebam-lebam selepas kami melakukan hubungan kelamin,” katanya.
Menurut Nora, sekiranya dia tidak mahu menonton video lucah dan melakukan hubungan seks, Rizal akan menuduhnya sebagai isteri derhaka kerana tidak memberinya kepuasan seks yang mencukupi.
“Lebih teruk, Rizal juga pernah meminta kami mengadakan hubungan seks semasa saya datang bulan.
“Walaupun diberitahu bahawa saya datang bulan, Rizal tidak peduli dan tetap berkeras mahu melakukan hubungan kelamin walaupun saya berkali-kali menegaskan bahawa melakukan hubungan seks ketika haid adalah haram,” katanya.
Nora menjelaskan, sekiranya dia tidak membenarkan Rizal melakukan hubungan kelamin ketika itu, suaminya akan menonton video lucah sambil beronani.
“Ketika itu, saya merasakan bahawa Rizal seperti sedang membayangkan dirinya itu melakukan hubungan seks dengan pelakon video lucah itu,” katanya.
Tambah Nora, disebabkan tidak tahan dengan kelakuan seks ganas Rizal selain keinginan lelaki itu melakukan hubungan kelamin hampir setiap hari, dia pernah meminta suaminya itu berkahwin lain.
“Rizal bagaimanapun memberitahu dia sayangkan saya dan tidak sanggup menduakan saya.
“Lagipun Rizal memberitahu dia tidak mampu untuk menyara dua isteri memandangkan gajinya tidak berapa besar,” ceritanya.
Menutup bicara, Nora berkata, dia tidak akan teragak-agak memfailkan perceraian seandainya perlakuan seks ganas suaminya itu masih tidak berubah selepas ini.









