Indonesia nafi dakwaan batal amaran tsunami terlalu awal - Utusan Malaysia

Indonesia nafi dakwaan batal amaran tsunami terlalu awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Pemerintah Indonesia menolak dakwaan bahawa amaran keselamatan yang dikeluarkan tidak mencukupi selepas gempa bumi mencetuskan bencana tsunami yang mengorbankan sekurang-kurangnya 1,234 orang di Sulawesi, lapor saluran berita CNN semalam.

Gempa bumi kuat bermagnitud 7.5 itu menggegarkan Sulawesi Jumaat lalu dan mencetuskan ombak tsunami setinggi 3 meter yang melanda pantai di barat laut pulau tersebut. Ramai penduduk terkorban kerana tidak sedar akan bahaya yang menanti mereka.

Kritikan di media sosial oleh rakyat Indonesia tertumpu kepada dakwaan bahawa Agensi Meteoro­logi dan Geofizik Indonesia (BMKG) membatalkan amaran tsunami itu terlalu awal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Amaran tsunami diaktifkan sejurus selepas pukul 6 petang (waktu tempatan), Jumaat lalu, dengan amaran ombak setinggi 3 meter berpotensi berlaku. Amaran itu dibatalkan pukul 6.36 petang hari yang sama. Bagaimanapun, BMKG berkata, amaran itu ditarik balik hanya selepas tsunami melanda.

Ketua agensi berkenaan, Dwikorita Karnawati ber­kata dalam satu ke­nyataan bahawa dakwaan terhadap BMKG ‘tidak benar’.

“Tugas kami adalah berdasarkan sistem komputer dan kecerdasan buatan (AI). Sistem amaran itu dibatalkan dengan persetujuan 28 negara lain yang berada di sepanjang Lautan Hindi,” katanya.

Persoalan turut tertumpu pada sistem amaran bencana Indonesia yang berasaskan kepada grid merangkumi 134 stesen tolok arus laut dan me­sin seismograf, di sam­ping sejumlah boya serta diperkuatkan oleh kempen mendidik orang ramai tentang cara bertindak sekiranya berlaku bencana seperti tsunami.

Amaran bencana alam itu dihebahkan melalui sistem siren dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Daripada laporan yang saya baca dalam media, sistem siren tidak berfungsi kerana bekalan elektrik terputus dalam kejadian gempa bumi. Jika laporan itu benar, masalah tersebut perlu diatasi,” kata Phil. Cummins yang merupakan pakar bencana alam semula jadi di Universiti Nasional Australia kepada CNN.

Pakar-pakar juga memberi tumpuan kepada bilangan sistem tolok arus laut bagi mengukur paras air laut yang kini digunakan.

“Bilangan 134 stesen tolok tersebut adalah tidak mencukupi untuk mengesahkan pembentukan tsunami di Indonesia, negara yang mungkin mempunyai paling banyak pulau di dunia,” kata pengarah Pusat Amaran Tsunami Universiti California Selatan, Profesor Costas Synolakis.

Kebimbangan berhu­bung kesiapsiagaan peme­rintah meningkat selepas jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana, Sutopo Purwo Nugroho mengakui bahawa semua 22 boya laut tambahan yang disambungkan pada sensor di dasar laut bagi mengesan tsunami di pe­rairan Indonesia tidak berfungsi sejak enam tahun lalu.

“Kami mempunyai kira-kira 60 boya di Indonesia. Sesetengahnya rosak sejak tahun 2012 kerana perbuatan vandalisme. Penduduk tempatan mencurinya,” kata Sutopo pada satu sidang akhbar di Jakarta kelmarin. – Agensi

GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan sebuah boya yang digunakan untuk mengesan kejadian tsunami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini