Hikmah penantian empat tahun Maya - Utusan Malaysia

Hikmah penantian empat tahun Maya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dua tahun lalu, nama penyanyi Meyanaliza Ruslee atau lebih dikenali sebagai Maya Matahari pernah menjadi tumpuan apabila meluahkan rasa terkilan akibat tidak terpilih dalam program realiti popular, Gegar Vaganza musim ketiga (GV3).

Sejak penganjuran GV pada tahun 2014, nama Maya sering disebut-sebut bakal menjadi salah seorang peserta, namun sehingga empat musim berlangsung, ia sekadar tinggal khabar angin buat wanita itu.

Namun, tahun 2018 ternyata membawa sinar baharu buat Maya apabila akhirnya namanya terselit sebagai peserta GV5, sekali gus menamatkan penantiannya selama empat tahun.

Tidak pernah menyangka bahawa jodoh bersama GV masih ada, Maya menyifatkan penglibatan tersebut antara rezeki yang diperoleh sejak memutuskan untuk bertudung sejak Ramadan lalu.

Kesungguhannya juga dapat dilihat pada konsert minggu pengenalan GV5 yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSSA) malam kelmarin. Dendangannya menerusi lagu Matahari berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok empat teratas daripada 12 peserta lain.

KOSMO: Bagaimana perasaan Maya apabila akhirnya dapat beraksi di pentas GV5?

MAYA: Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana usaha saya selama empat tahun untuk menyertai GV akhirnya termakbul pada musim kelima. Pada konsert malam pertama ini, saya seperti tidak percaya akan berdiri sebagai peserta dan bukan lagi sekadar penonton.

Adakah pernah terbit rasa terkilan apabila ada yang sering menyindir kesabaran anda sepanjang menanti tiket bergelar peserta GV selama ini?

Tidak langsung, semuanya okey sahaja, malah saya ambil perkara itu sebagai pembakar semangat. Saya mahu buktikan kepada khalayak tentang kemampuan dan saya layak bertanding di pentas GV5.

Apakah yang membuatkan anda tidak pernah berputus asa menghadiri uji bakat GV5?

Ada yang pernah katakan saya merajuk apabila tidak terpilih sewaktu GV3 tetapi sebenarnya saya cuma kecewa. Saya juga manusia biasa dan selalu berharap. Namun selepas itu, saya okey.

Saya kembali mencuba sambil meyakinkan diri, pasti ada rezeki untuk saya di sini. Peminat yang sering bertanyakan soal kemunculan saya dalam GV juga menjadi penguat semangat untuk terus mencuba.

Persembahan anda pada minggu pertama GV5 dilihat memberangsangkan sehingga mendapat tempat empat teratas. Bagaimana penilaian peribadi anda terhadap pencapaian tersebut?

Saya terkejut kerana musim ini ramai nama hebat termasuk guru vokal seperti Noryn Aziz dan Dia Fadila.

Saya cuma berikan yang terbaik dan ikut segala nasihat yang diberikan Datuk Ramli MS sewaktu latihan. Saya gembira kerana ia membuahkan hasil dan memuaskan hati juri.

Boleh kongsikan strategi anda untuk terus kekal dalam pertandingan?

Saya sasarkan mahu ke peringkat akhir, itu akan menjadi satu pencapaian yang hebat buat saya sepanjang 24 tahun dalam industri nyanyian.

Selebihnya, saya tidak mempunyai sebarang strategi khusus. Cuma, saya tidak sabar untuk mencuba lagu genre lain selain pop. Saya ambil kelas vokal dan mahu berikan persembahan sehabis baik pada setiap minggu, itu sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×