KUALA LUMPUR 12 Okt. – Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Bali hari ini bahawa lebuh raya tanpa tol di Malaysia sesuatu yang mustahil didakwa sebagai antara mungkir janji terbesar dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Justeru, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah mengesa Kerajaan PH untuk mengakui hakikat kegagalan mereka untuk menunaikan janji-janji yang mereka berikan kepada rakyat sebelum pilihan raya.
Dr. Shamsul Anuar berkata, PH tidak sepatutnya terus menggunakan helah hutang negara, ekonomi serta menyalahkan aliran atau trend dunia terhadap penarikan modal pelabur asing dan kemerosotan nilai ringgit untuk tidak menunaikan janji yang diberikan kepada rakyat.
“Biarpun beliau mendakwa cuba menghalang perkara itu dimasukkan sebagai manifesto PH, ia tidak boleh diterima. Ini kerana rakyat tidak pernah pun terdengar atau terbaca mengenai tentangan beliau itu sebelum PRU14. Bagi kita itu semua adalah alasan semata-mata.
“Lihatlah sebagaimana janji mengenai PTPTN dan hasrat memansuhkan semua hutang peneroka Felda yang tidak akan tertunai, Kerajaan PH ternyata meluruhkan harapan banyak pihak yang mengundi mereka dalam PRU14 lalu. Kita harap akuilah hakikat bahawa Kerajaan PH gagal menunaikan janji,” kata Dr. Shamsul Anuar dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Shamsul Anuar mendakwa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo oleh Kerajaan BN adalah bukti bahawa kerajaan dahulu lebih mampu menyediakan lebuh raya tanpa tol kepada rakyat berbanding Kerajaan PH yang memerintah Malaysia sekarang.
Bernama hari ini melaporkan, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan
Malah Dr. Mahathir sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).
Menjelaskan lebih lanjut mengenai tol, Dr. Mahathir bertanya siapakah yang akan menyelenggara atau membina jalan baharu sekiranya kerajaan memansuhkan kutipan tol.-UTUSAN ONLINE











