GEORGE TOWN – Kumpulan penjenayah pecah rumah yang bergiat aktif dalam tempoh dua bulan lalu dikenali sebagai Geng Alza Biru tumpas selepas tiga ahlinya termasuk ketua kumpulan dicekup di sekitar Sungai Petani dan Kuala Ketil, Kedah semalam.
Kesemua suspek yang berusia antara 41 hingga 63 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 pagi dalam operasi khas polis.
Kumpulan itu dikatakan mula aktif selepas ketua kumpulannya yang berusia 57 tahun baru sahaja keluar daripada penjara kira-kira dua bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya melakukan Ops Alza selepas menerima laporan mengenai kegiatan pecah rumah di Mengkuang Semarak, Bukit Mertajam dekat sini bulan lalu.
Menurut beliau, mangsa merupakan pembaca berita di rangkaian TV9, Suzila Idayu Yaacob dan ahli keluarga mentuanya.
“Dalam kejadian itu, tiga suspek bertopeng telah memecah masuk rumah mentua mangsa kira-kira pukul 4.30 pagi sebelum mengikat mangsa dan ahli keluarganya sebelum melarikan pelbagai barang melibatkan kerugian kira-kira RM20,000.











