GEORGE TOWN – Kumpulan pecah rumah dikenali sebagai Geng Alza Biru yang bergiat aktif sejak kira-kira dua bulan lalu tumpas selepas tiga ahli kumpulan itu ditahan dalam operasi berasingan sekitar Sungai Petani dan Kuala Ketil, Kedah awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zainol Samah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini sebentar tadi berkata, suspek berusia antara 41 hingga 63 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 pagi.
Menurutnya, suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah melibatkan mangsa, pembaca berita TV9, Suzila Idayu Yaacob dan ahli keluarganya di Mengkuang Semarak, Bukit Mertajam dekat sini pada bulan lalu.
Menurutnya, dalam kejadian itu suspek melarikan pelbagai barangan sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM20,000 sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Alza.
Zainol berkata, siasatan pihaknya mendapati suspek dipercayai terlibat dalam lima kes kegiatan pecah rumah di negeri ini, (lapan) Kedah dan (dua) Perak.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











