KANAK-KANAK dan gajet merupakan pemandangan biasa pada masa kini. Malah dalam sesetengah situasi, ia menjadi ‘senjata’ untuk ibu bapa memujuk anak agar duduk leka dan tidak mengganggu urusan kerja mereka.
Keadaan itu membuatkan si kecil tidak lekang daripada telefon pintar, tablet dan sebagainya, sehingga menjejaskan aktiviti fizikal di luar.
Tempoh mereka menghadap gajet sama ada bermain permainan video, menonton kartun atau apa juga bentuk pembelajaran secara digital, nyata jauh melebih daripada apa yang sepatutnya.
Sedangkan, pada usia tersebut, mereka sepatutnya dilentur untuk berdaya saing dan kreatif dalam mencipta inovasi baharu.
Selain kesan dari segi pemikiran kreatif dan pergaulan sosial, kebergantungan kanak-kanak kepada gajet seawal usia lima hingga tujuh tahun sebenarnya menjejaskan perkembangan deria penglihatan mereka.
Jadi, bukan pelik apabila menyaksikan mereka memerlukan alat bantuan penglihatan seperti kaca mata dan sebagainya.
Selain itu, jika diperhatikan, lazimnya kanak-kanak gemar bermain gajet dalam posisi meniarap, jarak antara mata dan skrin gajet yang dekat dan bermain di tempat yang kurang cahaya atau gelap.
Kecenderungan ini tanpa disedari mengundang gejala myopia (rabun jauh).
Kajian terkini mendapati bahawa secara purata, 30 peratus populasi dunia menghadapi masalah myopia. Angka ini dijangka meningkat kepada 50 peratus atau lebih 5 bilion orang (dengan hampir 1 bilion rabun jauh tinggi) menjelang tahun 2050.
Di Asia, kira-kira 70 hingga 87 peratus kanak-kanak di sekolah dan golongan belia dilaporkan mengalami masalah myopia. Dalam kalangan kanak-kanak di Asia, kadar peningkatan rabun jauh adalah tinggi dan dianggarkan sebanyak 24 peratus daripada populasi myopia ini akan berhadapan dengan masalah yang lebih serius apabila dewasa.
Pakar Perunding Oftalmologi, Katarak dan Refraktif, Dr. Vienne Tai Pih Yih berkata, selain faktor genatik atau keturunan, masalah myopia juga disebabkan faktor persekitaran.
“Ini juga termasuk gaya hidup kanak-kanak yang lebih mengutamakan gajet berbanding aktiviti luar yang terdedah kepada cahaya matahari.
“Postur badan yang tidak betul, selain tidur yang tidak mencukupi juga menyumbang kepada gejala myopia,” katanya pada program mengawal gejala myopia dalam kalangan kanak-kanak dengan tema Masa Depan Cerah dengan Penglihatan Sempurna di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Program tersebut anjuran kedai cermin mata terkenal, Vista Eye Specialist.
Menurut Dr. Vienne lagi, terdapat banyak cara yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk mengurangkan kadar peningkatan rabun jauh dalam kalangan anak-anak mereka.
Antaranya, dengan menggalakkan anak-anak lebih banyak melakukan aktiviti di luar rumah, sekurang-kurangnya dua jam sehari terdedah kepada cahaya matahari.
Selain itu, hadkan penggunaan peranti elektronik, menggunakan kaedah 20-20-20 iaitu berhenti dan berehat daripada melihat skrin untuk setiap 20 minit. Pastikan anak-anak melihat sesuatu yang jaraknya lebih kurang 20 kaki selama 20 saat, selain jaga jarak penglihatan dan pencahayaan yang cukup.
“Elakkan daripada menggosok mata secara kerap, mendapat tidur yang mencukupi, pengambilan nutrisi dan melalui program kawalan myopia,” katanya.
Sementara itu, pakar Konsultan Oftalmologi, Katarak dan Refraktif Vista Eye Specialist, Dr. Calvin Lim Chung Yee menjelaskan, program kawalan myopia tersebut dimulakan dengan pemeriksaan mata secara komprehensif.
Ini diikuti dengan penggunaan ubat mata atropine secara teratur, pemakaian cermin mata tradisional atau kanta lekap Ortho-K dan khidmat nasihat.
“Sebagai langkah amalan yang baik, ibu bapa dinasihatkan membawa anak menjalankan pemeriksaan mata secara rutin dari usia seawal tiga tahun bagi mengesan sebarang masalah mata,” katanya.










