SHANGHAI 10 Okt. – Masyarakat etnik minoriti Muslim Uighur terus ditekan apabila kini berdepan kempen barangan antihalal yang bertujuan menyekat kehidupan mereka daripada memenuhi tuntutan agama Islam.
Ibu kota wilayah Xinjing iaitu Urumqi yang menempatkan hampir kebanyakan etnik Uighur melancarkan kempen berkenaan bagi menyekat umat Islam daripada mempengaruhi kehidupan sekular dan juga didakwa menyebarkan fahaman ekstremisme.
Dalam satu pertemuan yang dilakukan pada Isnin lalu, pemimpin Parti Komunis Urumqi berikrar menentang gerakan penggunaan produk halal atau pan-halalization.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan menerusi akaun rasmi WeChat parti terbabit.
Kebiasaannya barangan halal seperti makanan dan ubat gigi harus dikeluarkan berdasarkan tuntutan agama Islam.
Menurut agensi berita Global Times, ‘tuntutan untuk menghalalkan sejumlah barangan yang tidak boleh menjadi halal’ mencetuskan permusuhan terhadap agama dan membenarkan umat Islam mempengaruhi kehidupan sekular.
Sebagai salah satu usaha untuk menyokong kempen berkenaan, Ketua Pendakwa Raya Uighur, Ilshat Osman menulis sebuah esei yang bertajuk ‘Kawan, anda tidak perlu mencari restoran halal terutamanya untuk saya’.
Selain itu, ujar parti berkenaan, kakitangan awam tidak sepatutnya mempunyai pantang-larang makanan dan kantin juga perlu diubah supaya mereka boleh menikmati kesemua jenis makanan.
Pemimpin Parti Komunis Urumqi juga menegaskan mereka akan mengarahkan kakitangan awam serta anggota parti untuk percaya sepenuhnya kepada fahaman Marxisme-Leninisme dan bukannya agama selain bercakap bahasa Mandarin di khalayak ramai.
Penduduk China secara teorinya bebas untuk mengamalkan kebebasan beragama tetapi mereka sering kali menjadi sasaran pengawasan kerajaan. – REUTERS











