GEORGE TOWN – Empat pelajar sekolah menengah dikompaun oleh anggota penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang kerana kesalahan merokok di kawasan larangan merokok bersebelahan sebuah stesen minyak di sini, hari ini.
Ketua Cawangan Inspektorat Dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Ong Ang Guan berkata, keempat-empat pelajar itu ditahan ketika masih memakai uniform sekolah.
“Mereka ditangkap atas kesalahan memiliki bahan tembakau iaitu kotak rokok dan rokok di dalam poket uniform yang dipakai dan berikutan itu kami keluarkan empat kompaun bernilai RM50 setiap satu,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, jika keempat-empat pelajar itu tidak membayar kompaun, mereka akan dihadapkan ke mahkamah yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kami juga turut mengeluarkan satu notis kompaun kepada penjual yang menjual rokok kepada pelajar di bawah umur di kawasan ini,” katanya. – Bernama










