KUALA LUMPUR 23 Okt. – Penyedia teknologi sistem kutipan tol inframerah di lebuh raya Malaysia yang berasal dari Austria, Efkon Asia Sdn. Bhd. melancarkan peranti Smart Tag jenamanya sendiri yang dikenali sebagai, E-Tag.
Efkon bersama Sigma Technology Sdn. Bhd. menyertai pasaran jualan Smart Tag setelah Touch n’ Go Sdn. Bhd. memberhentikan jualan peranti itu sebelum ini.
E-Tag oleh Efkon itu akan boleh didapati di rangkaian luar talian seperti kedai-kedai aksesori atau stesen minyak, sementara MaxTag oleh Sigma pula sudah mula dijual sekitar tiga minggu lalu di Lazada dan 11street.
Pengarah Efkon Asia, Helmuth Blasch berkata, peranti itu dilengkapi dengan mikroprosesan dan paparan baharu untuk menawarkan prestasi dan kecekapan yang dipertingkat berbanding Smart Tag sebelum ini.
“E-Tag akan berada di pasaran dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi. MaxTag pula sudah berada di pasaran dengan kira-kira 4,000 unit dijual dalam tempoh dua minggu setengah,” katanya ketika ditemui pada acara pelancaran peranti itu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Basset Sdn. Bhd. Yap Kiak Wee.
Menurut Blasch, Efkon menyasarkan jualan sebanyak 20,000 unit peranti E-Tag itu dalam tempoh sebulan bermula tahun depan.
Beliau berkata, peranti inframerah itu masih lagi relevan walaupun kerajaan ketika ini memfokuskan kepada pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) seawal suku pertama tahun depan.
“Kami fikir Smart Tag masih relevan kerana tidak semua plaza tol dilengkapi dengan RFID seperti di PLUS Malaysia Bhd. (PLUS), orang ramai lebih selesa dengan Smart Tag dan kami di sini sebagai satu lagi pilihan buat pengguna.
“Disebabkan aduan tentang peranti sebelum ini, kita telah menambah baik E-Tag dan MaxTag dengan dua ciri baharu, selain tahan lasak mampu bertahan sehingga suhu 120 darjah,” katanya.











